Polis hari ini menurunkan tiga papan iklan #BebasAnwar di sekitar Ampang
yang menuntut pembebasan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim yang kini meringkuk di Penjara Sungai Buluh, Selangor.
Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang juga adalah ahli parlimen
Ampang berkata tindakan itu adalah provokasi yang sengaja dilakukan
untuk mendapatkan respon beremosi daripada kerajaan negeri Selangor
meskipun permit untuk menaikkan papan tanda tersebut telah diluluskan
oleh kerajaan tempatan masing-masing.
“Tindakan ini cukup tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila wujud
saluran-saluran yang betul yang boleh diguna Ketua Polis Negara jika
beliau melarang papan tanda #BebasAnwar itu.
“Kita nantikan sama ada papan tanda tersebut diturunkan benar-benar di
atas arahan bos beliau atau ia merupakan satu isu peribadi antara IGP,
dengan Anwar Ibrahim PKR dan rakyat Selangor,” katanya dalam satu
kenyataan.
Menurut Zuraida, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melampaui batasnya dan berikrar parti itu tidak akan berdiam diri.
“Beliau perlu bersifat profesional dalam menjalankan tugas dan
tanggungjawab sebagai IGP dan tidak mengganggu hal ehwal pihak berkuasa
tempatan,” katanya.
Unsur hasutan
Bukit Aman pada Sabtu lalu meminta pihak berkuasa tempatan (PBT)
Selangor supaya menurunkan papan iklan #BebasAnwar di negeri itu kerana
didakwa memaparkan unsur-unsur hasutan.
Khalid menerusi akaun twitter berkata polis sedang mengesan papan tanda
itu yang didapati mempunyai unsur hasutan dan mengelirukan rakyat.
“@PDRMsia kesan billboard (papan iklan itu) dengan kata-kata menghasut
dan mengelirukan rakyat yang merujuk DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim)
sebagai ‘Tahanan Politik’.
“Pada masa sama, PBT diminta turunkan billboard yang menghasut,” katanya.
Selain itu, katanya polis sedang mengambil tindakan terhadap Pengerusi
NGO Selangor Datuk Jamal Md Yunos kerana mengugut untuk membakar papan
iklan #BebasAnwar.
Maksud peliwat
Rabu lalu, Jamal yang mengetuai sekumpulan individu menampal kain
rentang di papan tanda #BebasAnwar di Ampang Jaya sebagai tanda protes
selain mengugut untuk membakarnya.
Jamal berkata kandungan papan iklan itu mencabar keputusan mahkamah terhadap Anwar.
Beliau sebaliknya, menaikkan kain rentang sepanjang dua meter itu untuk menerangkan maksud ‘peliwat’ dengan agak terpeinci.
“Anwar Ibrahim adalah pesalah peliwat yang telah dijatuhkan hukuman.
“Maksud peliwat adalah: Anwar Ibrahim memasukkan batang zakarnya ke
dalam lubang dubur lelaki secara paksa,” tulis kain rentang tersebut.
Beliau mendakwa terdapat lebih 20 papan iklan itu dipamerkan di beberapa kawasan di Selangor termasuk di Subang dan Rawang.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment