EDITOR MENULIS...
4 APRIL 2016

Boleh dikatakan hampir seharian portal pro-pembangkang, Malaysiakini.com
menyiarkan laporan tentang sebuah rakaman 'dokumentari' yang dihasilkan
oleh sebuah media Australia, Australian Broadcasting Corporation (ABC),
semalam.
ABC menyiarkan video bertajuk "State of Fear: Murder and Money in
Malaysia" (SFMMM), yang berdurasi hampir 45 minit di laman web media
'kembar' Sarawak Report itu. Bagi mereka yang malas menonton, malas
berfikir dan lebih suka membaca 'terjemahan', maka mereka akan memilih
untuk membaca laporan Malaysiakini.
Malangnya, saya yakin bahawa golongan 'pemalas' itu sudah tentu akan
mudah percaya dan terpengaruh dengan propaganda portal berkenaan membuta
tuli. Mungkin kerana itu juga ramai yang obses dan sanggup bersekongkol
dengan Lim Kit Siang untuk jatuhkan Perdana Menteri.
Saya telah menonton video tersebut dari mula hingga ke akhir. Bermula
dengan babak pertama tentang kes pembunuhan Kevin Morais, ABC telah
memilih untuk mewawancara adik Kevin, Charles Morais.
Soalnya, mengapa ditanya Charles sahaja? Sedangkan mendiang Kevin
mempunyai ramai lagi adik beradik yang lain. Mengapa ditanya pada lelaki
itu, sedangkan dia memiliki banyak hutang dan sanggup berkata apa saja
untuk mendapatkan 'laba'?
Jadi, dari awal lagi kita sudah dihidangkan dengan 'investigative
reporting' yang berat sebelah. ABC boleh bertanya ramai lagi responden.
ABC juga perlu tahu bahawa Kevin sememangnya dari awal langsung tidak
terlibat dengan siasatan kes membabitkan Dato' Seri Najib Tun Razak.
Mengapa fakta itu 'sengaja' ditinggalkan ABC agaknya?
Dari 'hujah' pertama ABC itu saja saya sudah menjangkakan apa
babak-babak seterusnya yang akan diputar alamkan oleh media kembar
Sarawak Report itu. Apatah lagi media itu bersumberkan kenyataan dari
Claire Rewcastle Brown, Mahathir yang juga mengambil maklumat dari
Claire, dan seorang opportunis seperti Zaid Ibrahim yang terkenal dengan
'kuda'? Selayaknya video itu dibakul sampahkan...
Bagi saya yang menonton video penuh ABC itu, saya terus terbayang
filem-filem cereka dan fiksyen arahan pengarah terkenal, Steven
Spielberg. Ia seolah-olah berlaku, namun sebenarnya hanyalah satu olahan
skrip dan cerita rekaan semata-mata untuk hiburan. Ia seperti filem
E.T, Indiana Jones, Jurassic Park dan Minority Report!
Filem cereka terbitan ABC itu mampu 'dijual' ekoran ia membabitkan
dakwaan kontroversi membabitkan seorang pemimpin tertinggi negara. Ia
seumpama David Teo membuat filem cereka fiksyen mengenai Perdana Menteri
Australia, Malcolm Turnbull.
Sebagai contoh, David Teo mampu membuat filem bertema 'dokumentari' yang
menceritakan Turnbull kononnya membunuh 4 wanita simpanannya, memiliki
akaun-akaun rahsia yang menyimpan hasil rasuah bernilai AUS$9 trilion
dan kini bertukar selera menggemari aktiviti liwat dengan seorang pemuda
kacak.
David juga mampu mereka-reka cerita dengan menemubual 'pelakon-pelakon'
yang diupah dan mahu Turnbull jatuh untuk menyokong 'dokumentari'nya itu
dengan membekalkan fakta palsu, buku akaun dan penyata kewangan palsu
dan sebagainya. Maka terhasillah filem cereka pendek untuk tontonan umum
rakyat Australia.
Soalnya, apa kreadibiliti cereka fiksyen seperti itu selain dari hiburan
berpaksikan khayalan semata-mata, mengikut selera nafsu pihak tertentu?
Selain mencemar etika kewartawanan sedunia, penulis yakin ABC mungkin
'diupah' untuk filem cereka tersebut.
Lebih memalukan, cereka rekaan itu yang dipetik Malaysiakini sebagai
bahan berita untuk disajikan kepada rakyat Malaysia? Itu seolah-olah
memetik fakta dari Shawshank Redemption untuk menuduh sistem perundangan
Amerika Syarikat sebagai zalim, sistem kewangan yang lemah selain
memiliki sistem kawalan penjara yang sangat buruk. Padahal itu filem
rekaan saja!
Amat malang sekali rakyat Malaysia yang terpengaruh dan percaya pada
ABC. Lebih malang lagi jika mereka percaya pada Malaysiakini yang jelas
langsung tiada kredibiliti untuk memetik dari sumber yang sangat rapuh
dan berteraskan cerita palsu.
Namun begitu, ia juga akan menilai akal dan otak rakyat Malaysia sama
ada mereka tergolong dari golongan yang sememangnya lemah akal atau
bijak dalam menghadapi permainan persepsi terancang seperti itu. Semoga
Allah SWT lindungi otak-otak rakyat Malaysia dari dijangkiti 'virus'
jijik dari ABC dan Malaysiakini...
Disediakan oleh :

Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
No comments:
Post a Comment