Tuesday, April 05, 2016
DAP Sarawak Ketandusan Modal Politik Hadapi PRN Sarawak – Puad Zarkashi
KUCHING : DAP Sarawak ketandusan modal politik apabila
mendakwa kerajaan akan menaikkan kadar semasa Cukai Barang dan
Perkhidmatan (GST) sekiranya Barisan Nasional (BN) Sarawak mencatatkan
kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) Ke-11.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Mohd Puad Zarkashi
berkata dakwaan itu adalah satu pembohongan di siang hari, dan sengaja
cuba memomokkan pengundi.
Beliau berkata DAP hanya mampu mereka-reka cerita umpama parti
politik amatur untuk menghadapi PRN Sarawak, dan beliau yakin orang
ramai terutama rakyat Sarawak sudah bosan dengan politik pembohongan
ini.
“Saya yakin DAP Sarawak cuba memainkan isu nasional yang direka-reka
ini kerana ketandusan isu tempatan untuk memburuk-burukkan kerajaan BN
Sarawak dan juga kepimpinan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem
yang banyak melakukan perubahan dan pembaharuan yang disenangi rakyat,”
katanya kepada media.
Beliau berkata demikian semasa mengulas klip video berdurasi
kira-kira dua minit yang mendakwa kerajaan akan menaikkan kadar GST pada
sekurang-kurangnya 10 peratus jika BN menang besar dalam pilihan raya
negeri akan datang.
Puad berkata kepimpinan Adenan yang begitu teratur dalam mengurus PRN
Sarawak sedikit sebanyak menggugat sokongan ramai terhadap DAP Sarawak.
“Sebenarnya (pergerakan) DAP sudah ‘disekat’ oleh ketua menteri
Sarawak yang begitu tenang dan teratur dari segi pengumuman calon,
pembahagian kerusi dan dasar-dasar baharu yang berorientasikan rakyat,”
katanya.
Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam
lawatan kerja di Sarawak juga memberi jaminan bahawa kerajaan tidak
mempunyai sebarang perancangan menaikkan kadar semasa GST.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment