Monday, April 18, 2016
Pengukuhan Ringgit Jadikannya Mata Wang Terbaik Di Rantau Ini – Najib
KUALA LUMPUR : Ringgit yang mula mengukuh tahun ini dan
mencapai tahap tertinggi 3.8650 berbanding dolar Amerika pada 14 April,
telah menjadikannya mata wang berprestasi terbaik di rantau ini, kata
Perdana Menteri.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata peningkatan sebanyak 11 peratus itu dicatat sejak akhir 2015.
Najib berkata harga komoditi terutama minyak mentah juga diunjurkan
meningkat dengan purata harga minyak mentah Brent, West Texas
Intermediate (WTI) dan Dubai Fateh dijangka melebihi US$40.99 setong
pada akhir 2017 (2016:US$34.75 setong).
“Secara tidak langsung, pemulihan ini dijangka akan memberi kesan
positif kepada pergerakan mata wang ringgit memandangkan pergerakan
ringgit mengikut trend harga minyak mentah dunia.
“Hasil kerajaan daripada sumber minyak dijangka bertambah dan
seterusnya akan mengukuhkan kedudukan fiskal kerajaan,” katanya pada
persidangan Dewan Negara hari ini.
Najib berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Senator Datuk
Mariany Mohammad Yit yang ingin tahu unjuran pertumbuhan ekonomi negara
pada 2016 dan prospek pemulihan ekonomi global yang menentukan
kelestarian pembangunan ekonomi Malaysia pada 2017.
Perdana Menteri berkata ekonomi Malaysia dianggar berkembang pada
kadar 4.0 hingga 4.5 peratus pada tahun ini dengan mengambil kira faktor
landskap ekonomi dan kewangan yang lebih mencabar.
Pada tahun ini, permintaan dalam negeri diunjurkan berkembang 4.3
peratus dan akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong
terutamanya oleh perbelanjaan sektor swasta, kata Najib.
Katanya, sektor luaran pula dijangka terus menyumbang kepada
pertumbuhan melalui kepelbagaian eksport sejajar dengan permintaan luar
negeri yang sederhana.
Eksport dijangka meningkat 3.2 peratus pada tahun ini berbanding 0.7
peratus tahun lepas, manakala import dijangka terus berkembang pada
kadar 3.4 peratus berbanding 1.3 peratus pada 2015, kata beliau.
Najib menjelaskan unjuran perkembangan ekonomi Malaysia pada tahun
ini telah mengambil kira faktor pemulihan ekonomi global yang dijangka
masih perlahan.
“Kelembapan ekonomi dunia terutama China, penyederhanaan harga
komoditi dunia berikutan lebihan penawaran dan ketidaktentuan pasaran
kewangan akan menjadi faktor penyumbang kelembapan ekonomi Malaysia,”
kata Najib.
Bagi tahun 2017, Najib berkata pertumbuhan ekonomi negara diunjurkan
berkembang lebih baik selaras dengan pemulihan ekonomi global.
Menurutnya, berdasarkan laporan Prospek Ekonomi Dunia oleh Tabung
Kewangan Antarabangsa (IMF) pada bulan ini, ekonomi dunia dianggarkan
berkembang pada kadar lebih tinggi iaitu 3.5 peratus pada 2017
berbanding 3.2 peratus pada 2016.
Perdagangan dunia pula dijangka lebih rancak pada tahun depan dengan
peningkatan sebanyak 3.8 peratus berbanding 3.1 peratus tahun ini, kata
Najib.
Najib berkata sentimen pelabur pada 2017 juga dijangka lebih positif
berdasarkan prospek ekonomi negara yang akan berkembang selari dengan
pertumbuhan ekonomi dunia.
Selain itu, pelaburan awam juga dijangka bertambah baik berikutan
langkah kerajaan yang menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan dan
syarikat pelaburan berkaitan kerajaan menzahirkan keuntungan daripada
pelaburan mereka di luar negara untuk dilaburkan dalam negeri, dalam
projek yang mempunyai nilai pengganda yang tinggi, katanya.
Najib berkata berdasarkan landskap ekonomi dan kewangan antarabangsa
yang dijangka lebih memberangsangkan pada 2017, pertumbuhan ekonomi
Malaysia diunjur menjadi lebih kukuh.
“Keupayaan Malaysia untuk menghadapi kejutan luar juga akan terus
diperkukuh dengan tersedianya penampan yang mencukupi, rangka kerja
dasar yang teguh, kebolehsuaian ekonomi dan ruang dasar yang mencukupi,”
kata Perdana Menteri.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment