
Monday, April 18, 2016
Senator Kecam Rancangan Minta Campur Tangan Asing Jatuhkan Kerajaan

KUALA LUMPUR : Seorang anggota Dewan Negara mengecam usaha
pihak tertentu yang cuba meminta campur tangan negara luar untuk menjatuhkan kepimpinan kerajaan yang dipilih secara demokratik.
“Jangan kita membenarkan negara kita dipergunakan oleh pihak luar
yang boleh menganggu-gugat negara kita, apa yang penting sekarang ialah
perpaduan kaum harus dipelihara,” kata Senator Datuk Yahaya Mat Ghani.
Ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan
Agong di Dewan Negara hari ini, beliau berkata pihak yang tidak
bertanggungjawab yang berhasrat untuk menjatuhkan pemimpin negara boleh
dianggap sebagai seorang mementingkan diri sendiri sehingga sanggup
menggadaikan maruah negara dengan meminta bantuan asing.
Malaysia sudah menghampiri sebuah negara maju, maka jangan gadaikan
masa depan negara dengan melakukan satu tindakan yang melanggar
undang-undang negara, katanya.
Dalam pada itu, Yahaya berkata kerajaan perlu mengetatkan dasar
pengambilan pekerja asing di negara ini bagi memastikan keselamatan
negara dapat dijaga dengan baik dan menurutnya kehadiran warga asing
yang sewenang-wenangnya membuka perniagaan di negara ini telah
menghalang rakyat tempatan mendapatkan peluang pekerjaan.
“Pengangguran rakyat tempatan ketika ini hampir 400,000 namun pekerja
asing pula bebas menikmati hasil ekonomi dan jika perkara ini
berterusan kita bimbang mereka akan cuba menuntut pelbagai hak pula,”
katanya.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment