Tuesday, April 05, 2016

UMNO Kota Baharu Giat Daftar Pengundi Baharu

https://khabarkotabharu.files.wordpress.com/2011/04/fatmi2.jpg
KOTA BAHARU : UMNO Bahagian Kota Baharu sedang giat melakukan pendaftaran pengundi baharu bagi membolehkan mereka mengundi khususnya pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Ketua UMNO bahagian itu Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh berkata Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di bahagian berkenaan telah diarah untuk membuka kaunter pendaftaran pengundi di lokasi tumpuan ramai generasi muda seperti di karnival anjuran agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan.

“Pada tahun lepas lebih 2,000 orang yang mencapai umur 21 tahun didaftarkan sebagai pemilih dan saya percaya masih terdapat ramai lagi yang belum berdaftar (sebagai pengundi) di kawasan Parlimen Kota Baharu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Kerjaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2016 di sini, hari ini.

Mohamad Fatmi berkata UMNO Bahagian Kota Baharu akan memastikan golongan muda itu dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam menentukan hala tuju negara pada masa depan.

Sementara itu, beliau berkata Fiesta Kerjaya itu amat baik kepada pelajar universiti untuk mendapatkan panduan dalam memilih kerjaya mereka selepas tamat pengajian.

“Kalau dulu tidak ramai pihak yang buat penganjuran seperti ini sehinggakan generasi dahulu tidak mendapat panduan kerjaya yang sesuai dengan kelayakan dan minat mereka,” katanya.

Program Fiesta Kerjaya UiTM itu berlangsung selama dua hari bermula hari ini, membuka banyak peluang kerjaya kepada para pelajar melalui kehadiran majikan seperti institusi perbankan, syarikat insurans dan agensi kerajaan.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment