Tuesday, April 05, 2016
Wujudkan Agensi Berita Asean Untuk Perkukuh Kerjasama – Salleh
KUALA LUMPUR : Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri
Dr Salleh Said Keruak mencadangkan penubuhan sebuah agensi berita
serantau atau Agensi Berita ASEAN dalam usaha memperkukuhkan kerjasama
dalam pelbagai bidang sejajar dengan semangat Komuniti ASEAN.
Beliau berkata menerusi rangkaian agensi berita negara anggota,
Agensi Berita ASEAN yang dicadangkan itu boleh menyumbangkan liputan
berita menyeluruh dari kesemua 10 negara anggota perkumpulan serantau
itu.
“Kebanyakan daripada negara anggota perkumpulan ini telahpun
mempunyai agensi berita nasional mereka sendiri. Sebagai contoh,
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), yang wujud sejak 48 tahun
lepas.
“Untuk terus mara dan berikutan Komuniti ASEAN yang sudahpun menjadi
kenyataan, Agensi Berita ASEAN yang saya cadangkan di sini, biar lambat
namun pasti, boleh menjalankan peranan yang signifikan dalam
memperkukuhkan kerjasama ASEAN dalam pelbagai bidang,” katanya ketika
merasmikan Sidang Kemuncak Editor ASEAN, di sini hari ini.
Dalam hubungan ini, Salleh mahu peserta Sidang Kemuncak ASEAN yang
berlangsung dua hari untuk memulakan perbincangan awal berkaitan
cadangan itu.
Beliau berkata Sekretariat ASEAN boleh menentukan negara yang akan
menjadi tuan rumah agensi berkenaan sebaik sahaja kesepakatan dalam
kalangan Negara anggota diperoleh selepas ini.
“…dan sudah tentulah perkara seperti kaedah pengendalian dan
pembiayaannya. Pada pandangan saya, ia malah boleh dipercepatkan dengan
cara setiap agensi berita meminjamkan editor dan wartawan kanan mereka
kepada agensi berita yang dicadangkan ini, yang pada dasarnya boleh
berperanan sebagai sebuah pusat penghantaran bagi laporan berita yang
dikeluarkan oleh agensi-agensi terbabit.
“Tugas untuk memperincikan butirannya (Agensi Berita ASEAN) akan
menjadi cabaran kepada agensi yang mengambil bahagian namun saya yakin
ia boleh dilakukan,” katanya.
Selanjutnya, Salleh berkata hampir setiap 1,500 pertubuhan media
dalam negara anggota ASEAN sering berdepan isu rentas sempadan yang
mempunyai kaitan dengan keselamatan dan kedaulatan negara, dan isu
terbabit perlu dilaporkan menerusi cara yang mesra dan telus, supaya ia
tidak terus merumitkan lagi konflik di peringkat serantau dan global.
Justeru, beliau berkata hubungan kukuh antara pertubuhan media perlu
dipupuk untuk mengekalkan keamanan serta keharmonian serantau, dan
agensi berita ASEAN akan membuka peluang yang lebih baik kepada pengamal
media dan wartawan untuk saling berinteraksi serta bekerjasama.
Salleh berkata selaras dengan aspirasi Komuniti ASEAN, yang
diwujudkan secara rasmi semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 pada 22 Nov
tahun lepas, media di Asia Tenggara berperanan penting dalam
meningkatkan kesedaran lebih 650 juta penduduk terhadap inisiatif ASEAN
itu.
“Media boleh mendekati masyarakat dan amat berpengaruh. Laporan
kritikal yang hebat adalah penting bagi memastikan masyarakat
dimaklumkan sepenuhnya tentang Komuniti ASEAN dan kesan yang dibawanya
terhadap kehidupan penduduk dalam ASEAN,” katanya.
Salleh turut menggesa pengamal media ASEAN supaya meningkatkan
kesedaran dalam kalangan belia ke arah memperkukuhkan Komuniti ASEAN
memandangkan mereka perlu mengenali ASEAN dengan lebih dekat,
memperdalam pemahaman mereka dan menghargai budaya, tradisi masyarakat
serta nilai ASEAN.
Justeru, katanya, Sidang Kemuncak Editor ASEAN yang disertai 200
orang termasuk editor dan wartawan kanan, adalah pentas untuk
menghimpunkan pengamal media dari seluruh rantau ini selain
memperkukuhkan hubungan bagi mengetengah dan menyebarkan berita
berkaitan perubahan ketara yang sedang mengambil tempat di rantau ini.
Turut hadir pada Sidang Kemuncak Editor ASEAN itu ialah Ketua
Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Dr
Sharifah Zarah Syed Ahmad; Setiausaha Agung Hal Ehwal Komuniti dan
Korporat Jabatan ASEAN Dr AKP Mochtan; Pengerusi Bernama Datuk Seri
Azman Ujang dan Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh.
Terdapat empat sesi perbincangan bersama 16 penceramah dari negara
ASEAN, antaranya Pengarah Sekretariat ASEAN (Indonesia) Lee Yoong Yoong
dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Mikhail
Raj Abdullah.
Turut menyertai forum itu ialah Pengarang Kanan Media Baharu Utusan
Malaysia Gamal Nasir Mohd Ali; Ketua Pengarang Agensi Berita Indonesia
(Antara) Aat Surya Safaat dan Felo Kanan Institut Pengajian Pertahanan
dan Strategik Universiti Teknologi Nanyang Singapura Oh Ei Sun.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment