Tiga Exco Pas dalam kerajaan PKR Selangor, iaitu
Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul
Talib mungkin sudah boleh berkira-kira untuk mengemas pejabat
masing-masing yang terletak di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz
Shah. Ini kerana khidmat mereka mungkin tidak diperlukan lagi apabila
PKR dan DAP bakal menubuhkan pakatan pembangkang baharu yang akan
disertai oleh Gerakan Harapan Baharu (GHB).

Penasihat DAP, Lim Kit Siang sendiri pun secara terbuka menyatakan
yang Pas tidak akan dilibatkan langsung dalam pakatan baharu tersebut
atas alasan menjadi punca ‘kematian’ pakatan pembangkang sebelum ini.
Lagipun, jawatan ketiga-tiga mereka boleh diisi oleh wakil rakyat Pas
yang telah melahirkan kesediaan untuk lompat parti dengan menyertai GHB
iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib, Hasnul Baharuddin dan
ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib atau mana-mana ADUN dari PKR mahupun DAP.
Sekiranya kesemua kemungkinan ini menjadi kenyataan maka Iskandar,
Ahmad Yunus dan Zaidy sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada
pentadbiran kerajaan negeri.
Buat apa mereka berharap lagi kerana ketiadaan wakil rakyat Pas
sekali pun tidak akan memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan PKR
Selangor sedia ada.
Dengan 13 kerusi PKR dan 15 kerusi DAP ditambah dua kerusi GHB (ADUN
Morib dan ADUN Hulu Kelang) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah
boleh membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Bagaimanapun, bagi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat, Jeffrizal
Jaafar, sekiranya Mohamed Azmin Ali menggugurkan ketiga-tiga Exco Pas
terbabit dan menggantikan dengan ‘geng GHB’, maka Menteri Besar Selangor
itu telah mengkhianati mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13) lalu.
“GHB merupakan satu cadangan parti baharu bagi menggantikan Pas
kerana perselisihan antara Pas dengan DAP. Tetapi GHB bukanlah satu
parti yang wujud sewaktu PRU-13 yang mendapat mandat daripada rakyat
Selangor. Azmin tidak boleh membelakangkan rakyat yang memilih Pas
sebagai sebahagian daripada parti yang mewujudkan penubuhan kerajaan
negeri pasca PRU-13.
“Menteri Besar tidak boleh bermain silap mata dengan menggantikan Pas
kepada GHB demi mengekalkan tubuh kerajaan negeri. Ini satu
pengkhianatan kepada rakyat yang memberi mandat kepada Pas,” katanya.
Sewajarnya, katanya, Azmin membubarkan kerajaan negeri dan
menyerahkan semula kepada rakyat bagi memberi mandat baharu kerana
rakyat sudah serik dengan Langkah Kajang dan krisis Menteri Besar
Selangor sebelum ini yang menyaksikan mereka dihidangkan dengan drama
politik.
“Sepatutnya Menteri Besar memikirkan perkara-perkara yang boleh
mendatangkan faedah kepada rakyat seperti menarik pelaburan jangka
panjang bagi melonjak perolehan negeri seterusnya menyalurkannya kembali
kepada rakyat. Atau mencari jalan penyelesaian terhadap isu air,”
ujarnya.
Jika Pas masih merasakan mereka mempunyai tanggungjawab untuk memikul
amanah rakyat, mungkin suda tiba masanya untuk merealisasikan penubuhan
kerajaan bersama UMNO-Pas di Selangor yang pernah dicadangkan oleh
penganalisis politik, Profesor Dr. Azizul Halim Yahya sebelum ini.
Mereka boleh melantik bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
yang kini merupakan wakil rakyat Bebas sebagai Menteri Besar yang baharu
untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri bersifat neutral.
Gabungan sebegini pernah dibuat oleh Parti Perikatan sebelum ini dan
berjaya hingga negara mencapai kemerdekaan. Namun, Pas dengan 13 kerusi
DUN (selepas dua wakil rakyat sertai GHB), UMNO 12 dan Bebas satu
kerusi, belum cukup bagi mencapai majoriti mudah.
Gabungan ini
memerlukan sekurang-kurangnya tiga lagi kerusi DUN untuk membentuk
kerajaan negeri yang baharu. Yang menjadi persoalan, siapa dari PKR atau
DAP yang sanggup menjadi pengkhianat kepada parti sendiri dengan lompat
parti dan menyatakan sokongan kepada gabungan kerajaan bersama
tersebut? Atau senario politik yang ‘panas’ ini akan kembali dingin
apabila GHB dikatakan tidak mendapat sokongan daripada rakyat.
Seperti kata Iskandar yang merupakan Naib Presiden Pas dan
Pesuruhjaya Pas Selangor, beliau tidak hairan jika pelancaran parti
baharu yang diasaskan oleh GHB pada 14 September ini ditangguhkan sekali
lagi selepas tertangguh sebanyak dua kali.
Malah beliau juga tidak terkejut jika penubuhan parti baharu itu
dibatalkan dan kumpulan itu hanya bergerak sebagai sebuah pertubuhan
bukan kerajaan (NGO). Walau apa pun, kita tunggu dan lihat sahajalah
bagaimana mana berakhirnya permainan politik pakatan pembangkang ini.
Zabry Mohamad Madzlan
Utusan
Utusan
No comments:
Post a Comment