BUTTERWORTH : Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersikapterbuka dalam menjalin
kerjasama dengan mana-mana parti politik yang mengamalkan rangka kerja
dasar yang sama, kata presidennya Datuk Seri Dr WanAzizah Wan Ismail.
"Saya ingat kita punya persahabatan dengan semua orang walaupun dengan UMNO. Kita sama...kita mempunyai perjuangan.
"Kita ada kerangka kerja dasar yang sama di mana kita dan semua anggota
politik bersama dengan rakyat Malaysia yang prihatin tentang krisis
nasional yang melanda negara, kita ajak bersama untuk menyelesaikannya,"
katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Jelajah Amanat
Presiden pada Ahad.
Yang turut hadir Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Ketua
Penerangan PKR Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk
Dr Mansor Othman dan barisan kepimpinan PKR negeri.
Dr Wan Azizah berkata demikian mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk
Dr Haron Din dalam Mingguan Malaysia hari ini yang menyatakan PAS
bersedia menamatkan hubungan dengan PKR jika parti itu bersetuju
menyertai DAP dan Gerakan Harapan Baru (GHB) untuk membentuk satu
pakatan pembangkang yang baharu.
Haron dilaporkan berkata kemungkinan pendirian itu dibuat selepas
meneliti kenyataan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini
yang menggambarkan seolah-olah mahu memutuskan hubungan dengan PAS.
Bagaimanapun, Dr Wan Azizah enggan mengulas berhubung perkara itu dan meminta untuk mengesahkan perkara itu terlebih dahulu.
Ditanya mengenai pendirian yang diambil PKR terhadap GHB, anggota
Parlimen Permatang Pauh itu memberi 'jawapan selamat' dengan berkata:
"Kita semua kawan...kita ada keterbukaan, mereka kawan lama kita. Kita
sebagai kawan, kawanlah...atas kerangka kerja dasar yang sama, kita
bersama," katanya.
Sementara itu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata
keutamaan dan pendirian PKR ketika ini adalah bersikap lebih inklusif
untuk menjaga keharmonian dan memakmurkan negara serta ekonomi.
"Kita harus bersedia untuk menonjolkan kepimpinan dan di sini Keadilan
perlu memainkan peranan penting bagi memastikan semua parti dan rakyat
akan bersama-sama sebagai satu pasukan yang mantap bagi menyelamatkan
negara,"katanya.
Bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu minggu lepas mengumumkan
penubuhan GHB yang terdiri daripada pemimpin kanan PAS yang gagal dalam
muktamar parti bulan lepas.
GHB, yang telah mengemukakan permohonan pendaftaran sebagai sebuah parti
politik, dilihat sebagai pengganti PAS dalam gabungan pembangkang
Pakatan Rakyat sekarang selepas DAP dan PAS putus hubungan.
Rakan kongsi ketiga dalam Pakatan Rakyat ialah PKR.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment