SHAH ALAM : PAS bersedia meninggalkan PKR dan mengikut haluan sendiri
sekiranya parti berkenaan berhasrat menyertai DAP dan Gerakan Harapan
Baru (GHB) bagi membentuk gabungan pembangkang baharu, demikian tegas
Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din.
Menurut ulamak berkenaan, PAS tidak akan membantah hasrat PKR apatah
lagi setelah melihat kepada pendirian yang disuarakan Datuk Seri Anwar
Ibrahim yang seolah-olah menyokong GHB dan ingin memutuskan hubungan
dengan parti Islam itu.
"Dengan keputusan itu maka akan terputuslah hubungan antara kedua-dua
parti dan masing-masing bakal meneroka jalan sendiri selepas terbubarnya
pakatan pembangkang.
"Kalau mereka hendak menubuhkan parti baharu, saya ucapkan selamat maju jaya," katanya dipetik sebuah akhbar hari ini.
Anwar dalam satu kenyataan baru-baru ini mengiktiraf penubuhan GHB ke
arah pembentukan pakatan pembangkang baharu, yang akan memainkan peranan
selari dengan NGO pro-pembangkang yang lain.
"Kita sedang berusaha mewujudkan muafakat politik yang lebih utuh, yang
akan melibatkan semua gerakan progresif termasuk NGO seperti Bersih,
Abim, Ikram dan GHB yang baharu sahaja diwujudkan.
"Permuafakatan ini merupakan kesepakatan kumpulan yang komited kepada
reformasi dan perubahan, yang akan memberikan pilihan yang benar-benar
demokratik dan adil kepada rakyat," petik kata Anwar dalam kenyataannya,
Rabu lalu.
Mengulas lanjut, Haron berkata beliau yakin PAS akan tetap berdiri teguh
di atas landasan perjuangan menegakkan Islam walaupun kumpulan
serpihannya akan menubuhkan parti baharu melalui wadah GHB.
"Allah memberi perbandingan untuk mengetahui siapa yang hak dan siapa
yang batil, ada pun buih akan pergi tanpa kekuatan dan hilang tersisih
daripada wujud dan apa yang bermanfaat kepada manusia, maka akan kekal
teguh sepanjang zaman," ujarnya sambil menambah keyakinan itu
bersandarkan kepada firman Allah SWT seperti yang terkandung dalam surah
Al-Ra’d.
Tambahnya, PAS pernah menghadapi situasi serupa sebelum ini apabila
kumpulan serpihan bertindak meningglkan parti Islam itu untuk menubuhkan
wadah lain, merujuk kepada penubuhan Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia
(Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim).
"Semoga GHB tidak tinggal harapan sahaja dan masa akan menentukan. Jika
umur kita panjang, kita akan melihat apa yang berlaku seterusnya,"
ujarnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment