Wednesday, July 22, 2015
Syabas...PAS Tidak Akan Bekerjasama Dengan Gerakan Harapan Baharu
TUMPAT : PAS membayangkan bahawa ia tidak akan bekerjasama dengan Gerakan
Harapan Baharu (Harapan Baharu) yang ditubuhkan oleh beberapa orang
anggotanya, kata Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yakob.
Beliau berkata ini kerana Gerakan Harapan Baharu adalah sebuah parti baharu yang dasar perjuangannya masih belum jelas.
"Kami tak boleh bersama sebab dia (Harapan Baharu) parti lain. Kami
sedia lawan mereka dalam pilihan raya umum," katanya kepada pemberita
ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di rumahnya di Wakaf
Baharu di sini, Sabtu.
Isnin lepas, beberapa pemimpin kanan PAS daripada kumpulan progresif
parti itu yang tewas dalam pemilihan parti melancarkan sebuah pergerakan
dikenali sebagai Gerakan Harapan Baharu (Harapan Baharu) bertujuan
untuk menyatukan semula parti politik pembangkang.
Harapan Baharu itu dipengerusikan bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad
Sabu, manakala anggota jawatankuasa interimnya terdiri daripada bekas
Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, bekas Setiausaha
Agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar, bekas Naib Presiden PAS Salahuddin
Ayub, serta bekas pemimpin kanan parti seperti Khalid Samad, Dr Mohd
Hatta Ramli dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.
Ditanya mengenai tindakan disiplin yang akan dikenakan terhadap pemimpin
PAS yang menyertai Harapan Baharu, Ahmad yang juga Menteri Besar
Kelantan berkata parti itu mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat'.
"Setakat ini kami bagi peluang.
Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang belum ambil apa-apa tindakan
terhadap bekas pemimpin PAS yang terlibat. Kami tengok dahulu keadaan.
"Mungkin itu satu cara yang diambil Presiden, tidak gopoh dalam mengenakan tindakan," katanya.
Dalam pada itu, beliau sekali lagi mengingatkan bekas pemimpin atau
mana-mana anggota PAS yang ingin menyertai Harapan Baharu agar 'berundur
secara terhormat' daripada PAS.
"Kalau mereka nak isytihar Harapan Baharu, dia terpaksa meninggalkan
segala-galanya. Kena berdikari sendiri, guna cawangan sendiri, guna wang
sendiri.
"Dalam sebuah negara yang demokrasi, kami mengalu-alukan (penubuhan
Harapan Baharu), tapi jangan berada dalam PAS dalam keadaan yang tak
menentu. Harapan Baharu pun tak, PAS pun tak... itu masalah," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment