Monday, October 19, 2015
Kad Tambah Nilai Kembali Ke Harga Asal Bermula 1 November
KUALA LUMPUR : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan
mengumumkan harga kad tambah nilai prabayar telefon kembali seperti
sebelum pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), pada 1 November
ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, JKDM telah
berbincang mengenai perkara itu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) supaya pengguna tidak lagi dikenakan bayaran
tambahan apabila membeli kemudahan tersebut.
Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan syarikat telekomunikasi
(telco) yang gagal melaksanakan langkah itu dan bersedia mengambil
tindakan selanjutnya jika mereka masih berdegil.
“Macam mana Telco mahu caj, mereka kena fikirkan cara itu. Yang penting
rakyat beli RM10 dapat nilai RM10. Kita mahu JKDM buat susulan dengan
SKMM dan buat pengumuman pada 1 November ini,’’ katanya dalam sidang
akhbar selepas merasmikan Forum Pengguna 2015 anjuran Persatuan Pengguna
Islam Malaysia (PPIM) di Dewan Razakian, Universiti Tun Abdul Razak
(UniRazak), di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan tidak boleh menerima alasan daripada pihak telco
seperti sebelum ini bahawa sistem komputer mereka belum bersedia, kerana
tempoh yang telah diberikan kepada telco terlalu lama.
“Jika pihak telco masih memberi alasan tidak bersedia sekalipun, mereka
perlu juga patuh pada arahan ini iaitu mengekalkan harga kad tambah
nilai seperti asal. Sebab, secara logiknya kalau pihak telco tidak
bersedia, kenapa pengguna pula yang kena tanggung kos tambahan,”
katanya.
Dalam sesi forum ketiga yang bertajuk GST membawa kemakmuran dan
kesengsaraan? - satu kajian semula, Johari turut menjadi ahli panel
bersama Penasihat Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia
(Mawar), Bazeer Ahmad.
Awal Mei lalu, telco telah menawarkan dua pilihan yang tidak menyebelahi
rakyat iaitu bersetuju menjual kad tambah nilai prabayar pada harga
RM10.60 tetapi apabila diaktifkan pengguna menerima nilai RM10 manakala
pilihan kedua pembelian pada harga RM10 dan apabila diaktifkan, pengguna
hanya menerima RM9.43.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment