Monday, October 19, 2015

Program 1Azam, eKasih Bantu Hapus Kemiskinan Dalam Kalangan Rakyat

SEREMBAN : Inisiatif kerajaan seperti program 1Azam dan program eKasih berjaya dimanfaatkan ribuan rakyat dan kumpulan sasaran, terutamanya wanita.

Pada 2014, lebih 30,000 peserta baharu menyertai program 1AZAM dan sebanyak 24,897 berjaya meningkatkan pendapatan bulanan mereka sebanyak RM300, iaitu jumlah yang agak besar berbanding sebelum menyertai program berkenaan.
http://www.therakyatpost.com/wp-content/uploads/2014/04/rohani.jpg
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Sri Rohani Abdul Karim berkata kementerian berkenaan ditugaskan untuk mengetuai satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara di bawah Program Transformasi Kerajaan GTP) bagi meningkatkan taraf hidup isi rumah yang berpendapatan rendah.

Beliau berkata usaha dan inisiatif seperti 1Azam dan eKasih telah dilakukan dengan matlamat untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat.

“Di bawah program 1AZAM, peserta dilengkapi peralatan dan mesin serta kemahiran dan pengetahuan berkaitan supaya mereka memperoleh kehidupan yang lebih baik,” katanya pada Persidangan Antarabangsa Kelestarian Insan 2015) di sini, hari ini.

“Kebanyakan peserta kini menikmati kualiti kehidupan dan pendapatan yang lebih baik. Ramai daripada kalangan mereka kini mempunyai perniagaan kecil sendiri dalam pelbagai sektor iaitu pertanian, pelancongan, industri makanan, jahitan dan perkhidmatan,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha KPWKP Azman Mohd Yusof.

Rohani berkata pinjaman mikro kredit juga ditawarkan bawah skim Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Agro Bank serta bank komersial lain di negara ini.

“Selain menyediakan bantuan kebajikan kepada golongan sasaran, kementerian memberi lebih tumpuan kepada pendekatan kebajikan produktif untuk pelanggan kami. Pendekatan ini menyasarkan pelanggan yang masih pada usia dan kesihatan yang produktif, tanpa perlu bergantung kepada bantuan kerajaan lagi.

Persidangan kali kedua yang disertai 305 orang peserta itu dianjurkan Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Institut Sosial Malaysia (ISM), KPWKM) serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Persidangan dua hari itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada para peserta tentang isu dan cabaran berkaitan kelestarian insan dalam konteks pembangunan sosial dan negara.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment