
Wednesday, March 23, 2016
162 Ditahan Terlibat Elemen Kumpulan Pengganas Daesh – KDN

KUALA LUMPUR : Sebanyak 162 orang yang terlibat dengan elemen
kumpulan pengganas Daesh ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat
14 Mac lepas, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat
menyatakan bagaimanapun KDN tidak berhasrat mendedahkan secara
terperinci maklumat tersebut agar tidak mengganggu siasatan polis.
Daripada jumlah yang ditahan itu lima adalah warga Sabah,
menurut kementerian bagi menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh
(BN-Putatan) tentang jumlah individu ditahan pihak berkuasa akibat
penglibatan dalam aktiviti militan Daesh khususnya di Sabah.
Berhubung soalan tentang jumlah dana asing yang disalur kepada
kumpulan itu dan dirampas pihak berkuasa, katanya sehingga kini tiada
dana asing yang masuk ke negara disabitkan dengan keganasan domestik
atau luar negara.
Menurutnya kerajaan amat komited memerangi aktiviti militan di negara ini dengan melaksanakan beberapa tindakan.
Katanya antara tindakan itu adalah mengadakan perkongsian maklumat
dengan agensi perisikan luar negara khususnya negara anggota ASEAN,
menyenarai hitam individu yang disyaki terlibat dalam kumpulan itu dan
memasukkan nama mereka ke dalam Senarai Syak bagi menyekat pergerakan
mereka di pintu keluar dan masuk negara.
“Selain itu, kerajaan sedang dalam usaha melaksanakan Sistem Saringan
Awal Penumpang (APSS) ke atas pelancong yang memasuki negara ini
sebelum berlepas dari negara asal bagi memastikan setiap warganegara
asing ditapis dengan lebih awal dan terperinci,” kata kementerian.
Menurut KDN, kerajaan juga menahan mereka yang terlibat kumpulan
militan mengikut undang-undang pencegahan seperti Akta Pencegahan
Keganasan 2015 (POTA) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment