Thursday, March 24, 2016
Bulan Gerhana Penumbra Di KL Terjejas Akibat Hujan Gerimis
KUALA LUMPUR : Pencerapan gerhana bulan penumbra malam ini terjejas
berikutan hujan gerimis, namun ia tidak menghalang orang ramai
mengunjungi Planetarium Negara di sini. Gerhana bulan penumbra berlaku
bila bulan keluar sepenuhnya dari bayang penumbra bumi, buat kali
pertama tahun ini antara 7.30 malam hingga 9.30 malam.
Planetarium Negara bagaimanapun menyediakan televisyen dan “skrin
besar” bagi memaparkan visual gerhana bulan secara langsung yang
diperolehi dari menara pencerapnya. Walaupun tidak dapat melihat dengan
jelas, hampir 500 pengunjung ke Planetarium Negara tetap menunggu hingga
gerhana berakhir. Kali terakhir gerhana bulan penumbra berlaku ialah
pada 28 November 2012, dan tahun ini ia dijangka berlaku lagi pada 17
September ini.
Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Dr Noordin Ahmad
memberitahu pemberita terdapat perbezaan antara gerhana bulan penumbra
dengan gerhana bulan. Gerhana bulan penumbra ini tidak dapat dilihat
dengan mata kasar dan memerlukan alat bantuan seperti teleskop, dan
perlu menghadap ke arah timur iaitu arah ketika bulan terbit, katanya.
Beliau berkata, gerhana bulan boleh dilihat mata kasar tanpa
memerlukan bantuan peralatan. Seorang pengunjung, Ramamurthy Desu Naidu,
17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Jaya yang teruja melihat
gerhana bulan penumbra agak terkilan kerana cuaca yang tidak
menggalakkan malam ini. Beliau yang meminati bidang astronomi, sebelum
ini hanya melihat fenomena itu melalui YouTube, dan amat teruja untuk
melihatnya malam ini.
“Tahun lalu pun saya juga tidak melepaskan peluang untuk melihat
gerhana bulan penuh tetapi kali ini gerhana bulan penumbra tidak dapat
dilihat dengan jelas,” katanya. Suri rumah Azira Aziz, 36, berkata,
kehadirannya di Planetarium Negara bersama suami dan tiga anaknya untuk
memberi pendedahan mengenai dunia angkasa kepada anak-anaknya yang
berumur antara empat hingga 11 tahun. Beliau berharap pendedahan itu di
peringkat awal dapat memupuk minat anak-anaknya mengenai kejadian alam
semula jadi.
Program itu yang dianjurkan bersama Kementerian Sains, Teknologi dan
Inovasi (MOSTI) dengan syarikat Starfield Instruments Supply turut
mengadakan beberapa aktiviti termasuk taklimat mengenai gerhana bulan
penumbra, pencerapan planet Musytari, “Space Glow In The Dark”, dan
tayangan filem “Earth, Moon and Sun”.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment