EDITOR MENULIS...
23 MAC 2016

Dilaporkan bahawa bekas Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mukhriz Mahathir
sedang giat berkempen dan bertemu dengan cawangan-cawangan parti untuk
menjatuhkan Presiden UMNO dari jawatan Perdana Menteri di seluruh
negara.
Menjaja deklarasi bapanya dengan 'sahabat kesayangan terkini', Lim Kit
Siang, Mukhriz mahu Dato' Seri Najib Tun Razak digulingkan dari jawatan
Perdana Menteri sebelum berlangsung Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Jika dilihat pada kehendak Mukhriz itu, berasaskan deklarasi bapanya
dengan Kit Siang, mereka sepakat mahu menjatuhkan Najib melalui cara
yang tidak sah menurut perlembagaan persekutuan dan menyalahi amalan
demokrasi di Malaysia. Dalam kata mudah, mereka mahu paksa Najib meletak
jawatan segera.
Pada pandangan saya, sekiranya Najib bertindak meletakkan jawatan
seperti yang dikehendaki Mukhriz, ia adalah seperti beliau
'memperbodohkan rakyat dan dirinya dengan menggulingkan diri sendiri'.
Faktanya, BN diberi mandat oleh rakyat Malaysia untuk mentadbir negara
pada PRU ke-13 yang lalu. Majoriti rakyat tahu bahawa Najib merupakan
Pengerusi BN dan beliau akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya
BN menang pada pilihan raya itu.
Jadi, apabila BN menguasai majoriti undi dari 222 parlimen yang
dipertandingkan, maka sekaligus membuktikan bahawa majoriti rakyat mahu
Najib meneruskan jasa bakti mengetuai Kerajaan Persekutuan sebagai
Perdana Menteri.
Siapa pula Mukhriz untuk menafikan amanah rakyat terhadap Najib dan
memaksa beliau untuk meletak jawatan? Apakah Mukhriz sedar dirinya
adalah sekadar Ketua UMNO Bahagian yang hanya mewakili satu undi saja
pada pemilihan parti?
Apakah Mukhriz fikir dia kuat sangat dan mendapat sokongan padu dari
UMNO Bahagian Jerlun yang dia ketuai? Apakah dia fikir dia boleh menang
di Dun Ayer Hitam pada PRU ke-13 yang lalu tanpa sokongan UMNO Kedah,
Dato' Abu Hassan Sarif dan Dato' Othman Abdul Aziz? Apakah Mukhriz fikir
dia akan diberi 'laluan mudah' menjadi Ketua Bahagian UMNO Jerlun jika
namanya bukan 'bin Mahathir'?
Sepatutnya Mukhriz bersyukur dan berterima kasih pada UMNO dan seluruh
ahlinya yang setia pada bapanya selama 22 tahun sebagai Presiden parti
dan Perdana Menteri. Malah sepatutnya Mukhriz tidak lupakan jasa Najib
yang menyelamatkan bapanya dari 'digulingkan' Tengku Razaliegh Hamzah
pada pemilihan UMNO 1987 dulu.
Tapi mungkin jenis Mukhriz ini adalah jenis yang tidak mengenang budi
dan suka 'tikam belakang', maka kini dia giat memburuk-burukkan imej
Najib dengan 'fakta kosong' dan 'pakatan Mahathir-Kit Siang'. Mungkin
itulah cara yang diajar Mahathir pada Mukhriz untuk membalas budi baik
pada UMNO dan Najib.
Namun apa yang menghairankan saya, Mukhriz tidak malu untuk terus
menjadi ahli UMNO yang mengkhianati Presiden yang dipilih majoriti ahli
parti. Dia tidak malu untuk bersekongkol dengan puak rasis dan penyokong
LGBT seperti kakaknya.
Dia tidak pula mendesak bapanya untuk meletak jawatan ketika terpalit
dengan pelbagai skandal ketika menjadi Perdana Menteri dulu. Dia tidak
pula malu menjaja cerita 'separuh masak' dan tidak benar. Kenapa begitu?
Mungkin kerana terlalu kemaruk untuk menjadi Perdana Menteri?
Sehingga kini, Mukhriz enggan keluar parti seperti bapanya setelah
mengkhianati Presiden UMNO dan parti. Jadi, saya berpendapat bahawa
Mukhriz selayaknya dikenakan tindakan disiplin dan dipecat keluar dari
parti.
Sekiranya Mukhriz dipecat, saya yakin dia akan mengamuk seperti
budak-budak dan menuduh yang bukan-bukan pada parti. Tapi dia tidak akan
menyalahkan diri sendiri dan menuding jari pada perbuatannya yang tidak
beretika, biadap dan khianat pada parti. Mungkin itulah yang diajar
Mahathir pada Mukhriz...
Disediakan oleh :

Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
No comments:
Post a Comment