EDITOR MENULIS...
23 MAC 2016

Pakatan Harapan semalam sengaja mencetus kekecohan apabila mereka
mempersoal larangan terhadap Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad
Sabu dari menjejakkan kaki ke negeri Sarawak. Mereka mendakwa Mat Sabu
tidak wajar disekat masuk.
Naib Presiden PAN, Dato' Dr Mujahid Yusuf Rawa dalam usaha membela Mat
Sabu mendesak Kerajaan Negeri Sarawak supaya menarik balik sekatan itu.
Alasan yang diberikan adalah 'untuk menjalankan aktiviti politik yang
dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan'.

Kononnya, dengan menyekat kemasukan Mat Sabu ke negeri Sarawak, kerajaan
negeri itu telah menyekat kebebasan Presiden PAN untuk berpolitik dan
menafikan hak demokrasi seseorang itu untuk bergerak.
Pada pandangan saya, itu hanya sudut pandang Mujahid yang bersifat
berat sebelah. Mentang-mentanglah Mat Sabu itu Presidennya, maka dia
lebih cenderung untuk berlaku berat sebelah. Jika di mahkamah, ia
dipanggil 'conflict of interest' dan hujah sebegitu selalunya ditolak
mentah-mentah.
Memang benar Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan tentang
kebebasan bergerak bagi setiap warganegara Malaysia. Namun begitu,
Mujahid dalam interpretasinya terhadap Perkara 9 itu hanya 'separuh
masak' dan tidak menyeluruh.
Mana-mana undang-undang berkenaan hal kebebasan di dalam dunia ini
sebenarnya ada batasnya. Kebebasan bersuara diberi, tapi ada batasnya.
Kebebasan berpakaian diberi, tapi ada batasnya. Kebebasan menulis yang
diberi pun ada batasnya.
Sebagai contoh, Islam memberi kebebasan kepada umat Islam untuk bersuara
dan berpakaian. Namun kebebasan bersuara itu perlulah mengikut syarak
yang ditetapkan. Tidak boleh bersuara sembarangan kerana ia mungkin
melibatkan hukum hakam. Berpakaian pula walau diberi kebebasan, maka ia
perlu mematuhi aurat yang ditetapkan.
Dalam bahasa mudah, setiap kebebasan itu sudah tentulah ada batasannya.
Bagi Perkara 9 yang disebut Mujahid juga begitu, ada batasnya. Batas
yang ditetapkan di Sarawak adalah tertakluk kepada budi bicara kerajaan
negeri.
Kenapa ia tertakluk pada Kerajaan Negeri Sarawak? Ia adalah kerana
itulah terma perjanjian yang dipersetujui ketika Sarawak menyertai
Malaysia pada 1963 dulu. Saya yakin Mujahid tahu tentang perkara itu,
namun mungkin dia sengaja tidak hurai mengenainya untuk kepentingan Mat
Sabu.
Apabila Kerajaan Negeri Sarawak memutuskan Mat Sabu dilarang masuk ke
negeri itu, maka sudah tentu mereka sudah bersedia dengan sebab dan
alasan untuk tindakan tersebut. Adalah sangat mustahil Mat Sabu disekat
masuk tanpa alasan.
Walaupun PKR menuduh sekatan terhadap Mat Sabu itu kononnya membuktikan
Kerajaan Negeri Sarawak 'takut' padanya, saya menganggap tuduhan itu
hanyalah tuduhan yang berbaur politik murahan yang sengaja dibuat tanpa
asas yang kukuh.
Untuk apa Sarawak 'takut' pada Mat Sabu? Tiada sebab untuk Sarawak takut
pada Mat Sabu kerana dia sendiri tewas bertanding di kubu kuat PAS di
Parlimen Pendang pada PRU ke-13 yang lalu. Itu membuktikan bekas Naib
Presiden PAS itu bukannya hebat sangat pengaruhnya.
Namun pada pandangan saya, mungkin Kerajaan Negeri Sarawak melihat
Mat Sabu itu adalah seorang yang mampu mencetus ketegangan dan
mengganggu ketenteraman budaya politik aman di negeri berkenaan. Mungkin
atas sebab itu Mat Sabu dilarang masuk.
Cuba lihat cara Mat Sabu berpolitik. Bila berceramah, lihat saja gaya
bahasanya yang suka memaki hamun dan mencerca sesuka hatinya. Baru-baru
ini ketika di pentas ceramah, dia tanpa rasa bersalah melempar mikrofon,
kononnya 'bebal' marah.
Mungkin disebabkan perangai buruk dan sahsiah diri Mat Sabu itulah
menjadi punca dia disekat masuk ke sana. Saya lihat, ramai lagi
pemimpin pembangkang yang 'lepas' masuk ke Sarawak tanpa sekatan. Kenapa
mereka 'lepas', dan mengapa Mat Sabu 'sangkut'?
Saya yakin bahawa pemimpin pembangkang yang diterima masuk ke Sarawak
itu boleh berkelakuan baik dan tidak melampau sikap mereka. Jika
berlaku provokasi pun, mungkin hanya yang ringan saja, tidak
keterlaluan. Jika Mat Sabu mahu diterima masuk ke Sarawak, belajarlah
ubah perangai...
Tidak perlulah Mujahid desak Kerajaan Negeri Sarawak untuk menerima Mat
Sabu jika begitu perangainya. Lagipun, Perlembagaan Persekutuan memberi
hak mutlak kepada negeri itu untuk menentukan siapa yang layak diterima
masuk dan siapa yang patut disekat. Mujahid tidak perlu 'ajar' orang
Sarawak menjaga negeri mereka.
Sebaliknya, mungkin lebih wajar Mujahid bermuhasabah dan nasihat Mat
Sabu untuk berubah sikap. Ubah akhlak diri dan jadilah seorang pemimpin
pembangkang yang 'sihat'. Jika degil dan enggan berubah, janganlah
merengek bila disekat masuk ke Sabah dan Sarawak. Belajarlah hormati hak
orang jika mahu diri dihormati.
Fikir-fikirkanlah ya...
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
No comments:
Post a Comment