
BALI : Malaysia telah mencapai kesepakatan dengan Suruhanjaya
Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) untuk menubuhkan
pasukan petugas bersama bagi mengatasi masalah pengeluaran kad palsu
UNHCR oleh sindiket.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
antara tindakan segera yang diambil oleh pasukan petugas bersama itu
ialah meminta semua pemegang kad UNCHR terlibat membuat pendaftaran
semula.
Beliau berkata persetujuan itu dicapai dalam pertemuan beliau dengan
Penolong Pesuruhjaya Tinggi UNHCR Volker Turk, di sini semalam.
“Kami bersetuju menambah langkah-langkah keselamatan kepada kad UNHCR
sedia ada dan pendaftaran perlu dilakukan semula untuk
pemegang-pemegang kad UNHCR yang tulen,” katanya kepada wartawan selepas
menghadiri majlis perasmian persidangan Bali Process yang berlangsung
di sini hari ini.
Pihak berkuasa Malaysia telah mendapati terdapat sindiket pengeluaran
kad palsu UNHCR dan ia adalah antara faktor kebanjiran warga asing
termasuk pelarian yang tidak diiktiraf ke Malaysia.
Setakat Ogos 2015, terdapat 153,000 pelarian dan pencari suaka
berdaftar dengan UNCHR di Malaysia dan majoriti daripada mereka iaitu 93
peratus adalah dari Myanmar dan bakinya antara lain dari Sri Lanka,
Pakistan, Somalia, Syria, Iraq, Iran dan Palestin.
Sindiket pengeluaran kad UNCHR palsu itu dikesan sejak beberapa tahun
lepas apabila pihak berkuasa Malaysia pernah menahan rakyat negara
asing yang memegang kad UNCHR tetapi apabila disiasat, kad itu didapati
palsu dan mereka yang terbabit mengakui memasuki Malaysia secara haram.
Ahmad Zahid berkata selain itu, Malaysia dan UNCHR juga bersetuju
untuk bekerjasama berhubung ketibaan migran Syria seperti diumumkan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Persidangan Ke-70
Pertubuhan Bangsa Bersatu di New York pada Oktober tahun lepas.
“Saya turut akan mempengerusikan satu Mesyuarat Jawatankuasa
Peringkat Tinggi (HLC) mengenai migran Syria ini dalam masa terdekat,”
katanya.
Sementara itu, berhubung kenyataan negara bersempena persidangan itu,
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Malaysia menggesa
supaya penjenayah pemerdagangan manusia dihadapkan ke muka pengadilan di
samping mengkaji aspek undang-undang yang boleh dilaksanakan bersama.
Katanya, kesemua negara anggota Bali Process mahu penyelesaian
praktikal dalam menangani punca sebenar kegiatan penyeludupan dan
pemerdagangan manusia kerana jenayah itu semakin membimbangkan.
“Penjenayah kini berjaya memperdayakan pelbagai golongan terutama
wanita dan kanak-kanak … usaha bersepadu perlu dilaksanakan bagi
menghalang penjenayah ini untuk memberi rasuah kepada pegawai penguat
kuasa bagi menjayakan kegiatan mereka,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, persidangan itu juga mahu satu pendekatan
bersepadu untuk memastikan negara sumber perlu bertanggungjawab terhadap
rakyat mereka yang memasuki negara lain secara tidak sah.
“Saya yakin kesediaan semua negara untuk berkongsi maklumat dan
pengalaman mereka bagi membanteras penyeludupan dan pemerdagangan
manusia mampu menyediakan pangkalan data bagi membentuk strategi
bersepadu”.
Katanya pendekatan jangka panjang amat perlu untuk menghapuskan
kegiatan penjenayah itu yang boleh menimbulkan pelbagai masalah termasuk
keselamatan negara dan ketenteraman awam di sesebuah negara.
Ahmad Zahid berkata negara-negara sumber yang menghadiri persidangan
turut bersetuju untuk membuat kawalan lebih ketat di kawasan sempadan
Negara masing-masing sebagai usaha membanteras kegiatan penyeludupan dan
pemerdagangan manusia ke negara jiran.
“Kita akui bukanlah mudah untuk membuat sekatan terutamanya rakyat
yang mahu berhijrah mencari rezeki ke negara lain terutamanya mangsa
pemerdagangan tidak menganggap mereka sebagai mangsa sebaliknya
memganggap ia sebagai peluang,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, sebagai usaha tambahan bagi kawalan
keselamatan negara daripada dicerobohi pendatang tanpa izin, kerajaan
akan memperkukuhkan lagi kawalan keselamatan sempadan dengan membina
semula pagar sempadan di utara Semenanjung, Sabah dan Sarawak selain
menggunakan alat dron dan satelit untuk pemantauan.
“Kita tahu terdapat banyak lorong-lorong tikus yang kini telah
menjadi lorong gajah dan pagar-pagar sempadan dirosakkan dan kita telah
dan sedang mengambil tindakan mengenainya,” katanya.
Mesyuarat Ke-6 Peringkat Menteri Bali Process dipengerusikan bersama
oleh Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi dan Menteri Luar Australia
Julia Bishop dan ia disertai 48 negara anggota, Pertubuhan Antarabangsa
Mengenai Migrasi (IOM) dan UNHCR.
Mesyuarat ini adalah pentas utama serantau dalam menangani isu
mengenai pemerdagangan manusia, penyeludupan migran termasuk jenayah
rentas sempadan di rantau Asia Pasifik.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment