
PUTRAJAYA : Semua sekolah di seluruh negara termasuk di
Perlis dan Kedah akan beroperasi seperti biasa esok (24 Mac) susulan
pemantauan terhadap cuaca kering dan panas dalam tempoh 72 jam sehingga
hari ini berada di bawah 38 darjah Celsius.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini bagaimanapun
mengingatkan bahawa semua aktiviti luar bilik darjah masih ditangguhkan
sehingga dimaklumkan kemudian.
Kementerian turut meminta untuk pihak pengurusan sekolah memastikan
bahawa bekalan air minuman bersih mencukupi di sekolah masing-masing.
“Pihak pengurusan sekolah turut diminta untuk sentiasa berwaspada dan
bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku
sebarang komplikasi kepada murid akibat cuaca panas ini,” kata kenyataan
itu.
Katanya Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah
dikehendaki memantau bagi memastikan pematuhan perkara berkenaan oleh
pengurusan sekolah di negeri dan daerah masing-masing.
“KPM juga akan membuat pemakluman dari semasa ke semasa terhadap sebarang perubahan berkaitan fenomena tersebut,” katanya.
Pada Isnin lalu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid
mengumumkan semua sekolah di Kedah dan Perlis diarah tutup selama dua
hari bermula Selasa ekoran cuaca panas melampau.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment