Wednesday, March 23, 2016
Panassss!!!! Direct Sound Bebbb.... TMJ Imbas Sejarah Hitam 1992 Di Bawah Dr Mahathir
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengimbas semula sejarah
hitam pada tahun 1992 semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad dan mengingatkan kerajaan supaya tidak mengulangi apa
yang berlaku atas desakan tamak haloba dan sikap gila kuasa.
“Saya tidak akan lupa krisis perlembagaan yang berlaku pada tahun 1992.
Saya masih ingat bagaimana keluarga saya telah dilayan oleh
pegawai-pegawai kerajaan persekutuan.
“Saya masih ingat perkara-perkara seperti percubaan untuk membubarkan
Askar Timbalan Setia Negeri Johor, ahli Exco Johor diberitahu untuk
tidak menyambut Almarhum nenda saya di lapangan terbang, bagaimana JKR
telah diberitahu untuk tidak membaikpulih dan memulihara segala apa-apa
yang ada di Istana-istana Johor.
“Malah bonda saya juga ditahan oleh kastam Malaysia sewaktu kembali ke
Johor dari Singapura. Bonda saya diarah melangkah keluar dari kenderaan
kerana mereka mahu memeriksa kenderaan dengan terperinci. Saya masih
ingat segala-galanya dan saya masih ingat kepada individu-individu yang
bertanggungjawab,” katanya dalam posting di Facebook.
Putera yang berusia 31 tahun itu berumur lapan tahun ketika sesi khas
parlimen diadakan pada Disember 1992 yang menyaksikan usul bagi menyekat
kuasa atau kekebalan Raja-raja Melayu.
Apa yang berlaku tercetus berikutan dua kejadian yang membabitkan keluarga diraja Johor.
Kejadian pertama tercetus apabila Tunku Abdul Majid, putera kedua Sultan
Johor ketika itu, Sultan Iskandar memukul penjaga gol pasukan hoki
Perak selepas pasukan Johor ditewaskan dalam satu perlawanan.
Apabila Persekutuan Hoki Malaysia menghukum Tunku Abdul Majid dengan
menggantungnya daripada bermaian selama lima tahun, Sultan Iskandar
menjadi berang dan memberi tekanan kepada Jabatan Pelajaran Negeri Johor
supaya mengarahkan semua pasukan hoki sekolah di negeri itu supaya
memulaukna kejohanan kebangsaan.
Ini menjadikan Douglas Gomez, seorang jurulatih hoki kecewa dan membidas
Jabatan Pendidikan Johor serta menuntut peletakan jawatan semua ahli
jawatankuasa dalam Persatuan Hoki Johor.
Benggang dengan perkembangan itu, Allahyarham Sultan Iskandar kemudian
menitahkan Gomez ke istana dan didakwa mengasarinya. Jurulatih hoki itu
kemudiannya membuat laporan polis.
Sementara itu, Tunku Ismail berkata episod 1992 itu adalah perkara lama
tetapi menambah bahawa “Allah Maha Besar dan hukum karma adalah suatu
perkara yang indah.”
“Pada hari ini, hubungan kerajaan dan Kerabat Diraja Johor berada di
dalam keadaan baik. Saya menghargainya. Saya berharap ia bukan hanya
sekadar disebabkan kerana anda amat memerlukan kami.
“Memang baik sekiranya anda sedar bahawa kita saling memerlukan antara
satu sama lain. Tetapi pada pendapat saya pada masa ini, tumpuan harus
diberikan untuk memperbetulkan kesilapan dan mencapai kemajuan dalam
negara.
“Saya berharap agar sejarah hitam yang anda lakukan atas desakan tamak
haloba dan sikap gila kuasa tidak akan berlaku lagi. Jangan manipulasi
rakyat demi kepentingan diri sendiri kerana kita dilantik untuk
berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Baginda juga memberitahu seluruh rakyat di negeri itu bahawa Sultan dan
kerabat diraja menyayangi mereka serta mengingatkan bahawa kekuatan
kedaulatan Johor ialah perpaduan.
“Saya sayangkan anda. Saya dilahirkan untuk berkhidmat kepada anda
hingga penghujung nafas saya dan itu adalah tanggungjawab saya.
“Keutamaan saya adalah hak anda sebagai rakyat Johor, dan kesejahteraan
anda. Sentiasa ingat perkara ini. Sentiasa kekal bersatu sebagai rakyat
Johor.
“Jangan beri peluang kepada sesiapa pun untuk membuli kita. Kita yang memutuskan apa yang baik untuk kita,” katanya lagi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment