KUALA LUMPUR : Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari
ini tampil dengan cadangan- cadangan berkenaan langkah peralihan dan
persediaan yang harus diambil untuk memastikan pelaksanaan yang rapi
sebelum TPPA berkuatkuasa dijangka menjelang tahun 2017 nanti.
Pengerusi Biro Profesional Mudanya, Shahril Hamdan berkata cadangan
ini dibuat melalui laporan sesi pendampingan berkaitan Perjanjian Trans
Pasifik (TPPA) oleh Biro Profesional Muda (BPM) dan Akademi Kepimpinan
Kapten Hussein (AKHI) bersama pemegang-pemegang taruh seperti usahawan
Bumiputera, golongan profesional, dan wakil-wakil Kementerian.
“Laporan ini mendapati bahawa TPPA adalah dokumen yang berpotensi
tinggi tetapi potensi itu harus didahului dengan tindakan Kerajaan dalam
menangani isu struktural dan taktikal di mana Kerajaan wajar
melaksanakan langkah- langkah peralihan sementara dan langkah-langkah
penyelesaian jangka panjang.

“Selain itu, laporan ini juga menekankan isu komunikasi sebagai satu
cabaran besar kepada Kerajaan dan pemegang taruh khususnya berkenaan
dengan penerangan impak dan implikasi TPPA yang berbeza mengikut
industri,” ujarnya yang juga EXCO Pemuda UMNO Malaysia.
Tambahnya, daripada sudut cadangan, laporan ini telah mengesyorkan 15 cadangan utama kepada Kerajaan.
“Berkenaan dengan model CGE yang merupakan satu kaedah baik untuk
mengukur impak penyertaan Malaysia dalam TPPA kepada ekonomi negara,
laporan ini mencadangkan supaya unjuran model itu diambil sebagai
indikator pencapaian penting (KPI) penyertaan Malaysia dalam TPPA.
“Malaysia perlu berusaha untuk menyamai atau melebihi kadar
peningkatan daya saing ekonomi dan produktiviti negara lain supaya kita
mampu mencapai unjuran model CGE.
“Perhatian juga harus diberi kepada kemungkinan impak positif TPPA
kepada pengguna di mana harga barangan menurun,” ujarnya dalam sidang
media di sini hari ini.
Jelas beliau, satu kajian kuantitatif spesifik dijalankan bagi
mengukur impak TPPA pada sektor-sektor penting ekonomi terutamanya kesan
kepada peluang pekerjaan dan pertumbuhan keluaran serta mencari kaedah
meningkatkan pemilikan tempatan terutamanya Bumiputera dalam sektor
tekstil dan E&E dengan memberi bantuan bersasar kepada aspek-aspek
penting seperti perlesenan, pendaftaran, dan pemadanan dengan pembeli.
“Kerajaan disyorkan untuk melaksanakan satu kajian mengenalpasti
kaedah paling strategik untuk mentafsir syarat-syarat perolehan Petronas
supaya mampu memberi perlindungan terbaik kepada pengusaha minyak dan
gas tempatan.
“Pemuda turut mencadangkan untuk mewujudkan sebuah rancangan yang
strategik bagi meningkatkan keupayaan syarikat perkhidmatan tempatan
sekiranya harga minyak mentah dunia kembali meningkat.
“Kerajaan perlu mengambil pendekatan agresif membantu syarikat
pembinaan Malaysia menerokai pasaran luar yang dijanjikan TPPA, walaupun
setakat ini hanya 6.4% daripada nilai kontrak luar syarikat Malaysia
adalah di dalam negara TPPA,” tambahnya.
Berkaitan dengan Bumiputera, SBK, PKS, dan Perolehan Kerajaan pula
jelas beliau lagi, laporan ini mencadangkan agar Kerajaan menjelaskan
dengan lebih agresif tentang kejayaan perunding TPPA dalam meraih
pengecualian penuh beberapa institusi, had nilai perolehan yang tidak
tertakluk kepada syarat TPPA, dan perlindungan penting seperti kemampuan
meneruskan subsidi untuk mengurangkan tahap kebimbangan pihak PKS
Bumiputera.
Kerajaan juga tambahnya disarankan untuk memainkan peranan yang aktif
dalam meningkatkan keupayaan dan daya saing para usahawan PKS
Bumiputera dengan pelan yang menyasarkan pencapaian jangka pendek
sebelum tahun 2017.
Pemuda kata beliau lagi mencadangkan untuk mewujudkan satu sistem
perolehan strategik untuk Kerajaan dan SBK bagi meningkatkan pegangan
pasaran oleh syarikat Bumiputera termasuklah memastikan sebanyak mungkin
nilai kontrak yang diberikan kepada PKS Bumiputera kelak dianggap
sebagai merit supaya tidak jatuh dalam ‘kuota’ pengecualian yang telah
dirundingkan.
“Kerajaan turut disaran melaksanakan satu sistem sementara dalam
perolehan Kerajaan dengan serta merta untuk digunakan dalam dua tahun
mendatang ini bagi membantu vendor Bumiputera mengenalpasti perbezaan
harga yang perlu mereka kurangkan kelak supaya kekal kompetitif”,
ujarnya.
Berkenaan dengan tenaga kerja dan Penyelesaiaan Pertikaian Pelabur
(ISDS) pula beliau menjelaskan laporan ini menggesa Kerajaan memperkuat
kebolehan guaman untuk mempertahankan syarikat tempatan dan
memaksimumkan peluang kejayaan mereka.
“Kerajaan turut disaran melaksana satu kajian untuk memastikan
kebajikan tenaga kerja tempatan tidak terlalu terkesan terutamanya dalam
industri-industri yang mempunyai banyak tenaga kerja asing serta
mewujudkan satu mekanisme agar sebarang permintaan atau tuntutan
kesatuan perlu melepasi satu ujian kesejagatan sekaligus mengurangkan
kebarangkalian ketidakpuasanhati antara pekerja tempatan dan pekerja
asing.
“Sehubungan dengan itu, Pergerakan Pemuda UMNO ingin menyatakan
kesediaannya untuk membantu baik dari segi menyumbang kepada perangkaan
dan pelaksanaan langkah peralihan dan persediaan, mahupun dari segi
strategi komunikasi dalam memastikan keberhasilan yang terbaik untuk
Malaysia dan Kerajaan Barisan Nasional”, katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment