
Wednesday, March 23, 2016
Peserta Pidato Tampil Menarik Dengan Pakaian Tradisi

Kreatif, berani dan bijak merupakan ciri-ciri
yang boleh menggambarkan para peserta Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu
(PABM) 2016 Piala Perdana Menteri kerana masing-masing berusaha memikat
hati juri untuk dipilih memenangi pertandingan tersebut.
Selain mengetengahkan isi kandungan pidato yang lengkap dengan
pelbagai fakta, terdapat beberapa peserta yang membuat kelainan dengan
memakai pakaian kebangsaan negara masing-masing.
Antaranya, peserta dari Azerbaijan, Salima Qurbanova, 22, yang
memakai sut lengkap pakaian tradisional negaranya dan percubaannya
ternyata berjaya mencuri perhatian ramai termasuk pihak penganjur.
“Walaupun saya gagal memasuki peringkat separuh akhir tapi
sekurang-kurangnya berjaya memperkenalkan budaya dan tradisi Azerbaijan
yang ramai tidak tahu,” katanya.
Peserta dari Korea, Han Jun Beom, 23, pula kelihatan cukup segak dan
bangga dengan ‘hanbok’ berwarna kuning yang dipakainya sejak hari
pertama saringan.
“Ini baju tradisi negara saya. Ramai orang muda mengenali Korea
dengan lagu-lagu Kpop, jadi tidak salah rasanya untuk saya
memperkenalkan sedikit adat resam yang diwarisi nenek moyang saya pula
kepada umum,” katanya.
Dalam pada itu, peserta kecil molek dari Jepun, Hatsune Yanai, 21,
memberitahu, dia mengambil masa seminggu belajar daripada ibunya
cara-cara memakai kimono demi pertandingan ini.
“Idea memakai kimono ini diberikan oleh senior saya yang pernah menyertai pertandingan ini.
“Mungkin kimono ini yang membawa tuah kepada saya hingga berjaya memasuki peringkat separuh akhir,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment