
Wednesday, March 23, 2016
Projek Wi-Fi Komuniti Bantu Rakyat Dapat Akses Internet – Salleh

KUALA LUMPUR : Projek Wi-Fi Komuniti (WK) disediakan kerajaan
di kawasan luar bandar bertujuan membantu rakyat mendapatkan akses
Internet secara kolektif dan setempat, kata Menteri Komunikasi dan
Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau menjelaskan kemudahan WK merupakan inisiatif bersifat
sementara dan bukan bersifat kekal sementara menunggu pembangunan
infrastruktur yang membolehkan Internet diakses secara menyeluruh
dibina.
“Projek ini akan ditamatkan sebaik sahaja akses Internet dapat dicapai dengan lebih baik dan menyeluruh oleh penduduk.
“Ertinya bila sampai ke satu tahap, jika kita berpendapat tempat itu
sudah ada kemudahan Internetnya, maka ia (WK) tidak diteruskan lagi,”
katanya semasa menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong pada
persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Katanya sehingga kini, sebanyak 3,209 WK telah ditamatkan
perkhidmatan manakala 3,148 WK masih lagi beroperasi di seluruh negara.
Sebanyak 1,761 lagi berada dalam peringkat pelaksanaan.
Projek WK yang sebelum ini dikenali sebagai Kampung Tanpa Wayar
1Malaysia, dilancarkan pada tahun 2011 bertujuan menyediakan
perkhidmatan Wi-Fi secara hotspot kepada penduduk setempat di luar
bandar.
Mengulas lanjut Salleh berkata kerajaan bersedia mengkaji semula
kawasan-kawasan yang ditamatkan kemudahan WK itu bergantung kepada
keperluan setempat.
“Contohnya di Sarawak, kita mengambil keputusan untuk meneruskan
kemudahan ini kerana ada kawasan (pedalaman) yang jauh sangat dan perlu
lagi kemudahan sedemikian, manakala di Semenanjung, ada kawasan yang
kemudahan (Internet) tidak ada, tetapi (WK) dihentikan, kita akan lihat
semula,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment