Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA Berhad (PMB), Ahmad
Nazim Abdul Rahman menyahut cabaran Rafizi Ramli dan akan memfailkan
saman sivil terhadap Setiausaha Agung PKR itu.
Menyifatkan serangan Rafizi sebagai tidak beretika dan tidak
bertanggungjawab, Nazim berkata Rafizi tidak mengemukakan fakta yang
menunjukkan beliau mendapat faedah kewangan daripada syarikat-syarikat
yang dinamakan dalam urusniaga Dudley House oleh Mara Inc.
Malah, Rafizi juga gagal mengemukakan bukti yang menunjukkan
percanggahan kepentingan di pihaknya selaku CEO Pelaburan MARA Berhad.
“Beliau tidak boleh lari dari isu ini dan memilih untuk terus membuat
tuduhan berdasarkan maklumat yang tidak relevan,” tegas Nazim, dalam
satu kenyataan pada Isnin.
Kenyataan itu merupakan jawapan kepada cabaran Rafizi awal hari ini,
yang mencabar Nazim supaya menyamannya jika tuduhannya salah.
Rafizi sebelum ini mendakwa MARA melalui anak syarikat, Thrushcross Land
Holdings Limited telah membayar AUD$22.5 juta untuk membeli Dudley
House, Melbourne pada 2013, iaitu AUD$4.75 juta (bersamaan RM14.25 juta)
lebih tinggi berbanding harga pasaran.
Rafizi mendakwa Dudley House dibeli pada harga yang lebih mahal kerana melibatkan bayaran ‘komisen’ sebanyak AUD$4.7 juta.
Nazim, menurut Rafizi, adalah pegawai MARA yang menghantar invois
berbentuk bayaran komisen kepada syarikat penjual Dudley House itu,
Wanissa Properties Pty Ltd.
Wanissa, menurut Rafizi dimiliki oleh dua orang individu, yang memiliki saham di sebuah syarikat bernama Midwest Equity Sdn Bhd.
Rafizi mendakwa Nazim mempunyai percanggahan kepentingan kerana pernah menjadi ahli lembaga pengarah Midwest Equity.
Mengulas lanjut, Nazim melahirkan rasa kesal diatas kecenderungan Rafizi
membuat kesimpulan berdasarkan tanggapan dan maklumat-maklumat yang
tiada kaitan.
“Kenyataan Rafizi Ramli yang terbaru adalah satu lagi kenyataan kitar
semula dan contoh terbaik bagaimana beliau sering memilih taktik
menggunakan maklumat yang tidak relevan untuk mengaitkan seseorang
dengan sesuatu tuduhan.”
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN


No comments:
Post a Comment