Wednesday, March 23, 2016

Saman Najib : Annuar Musa Sifatkan Mahathir Akui Gagal Di Medan Politik

KUALA LUMPUR : Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa melihat tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad memilih untuk pergi ke mahkamah menunjukkan beliau telah gagal pendekatan secara politik berhubung tindakannya sebelum ini terhadap Datuk Seri Najib Razak seperti seruan terhadap ketua cawangan dan sebagainya lagi.

Menurut beliau saman yang difailkan oleh Mahathir terhadap Najib seterusnya memperlihatkan nada politik yang jelas apabila melihat kepada jumlah angka dan sebagainya lagi yang diletakkan menerusi saman terbabit.
IMG_6512 
“Apabila kita tengok dakwaaan yang beliau buat di mahkamah, nampak nada politik yang jelas seperti tuntutan membayar ganti rugi teladan berjumlah RM2.6 bilion.

“Tetapi isunya sama juga dalam sistem politik negara kita hari ini rakyat yang menentukan. Kalau kita bawa benda benar orang akan ikut dan sokong. Takkan rakyat yang 30 juta salah dan Tun Mahathir sorang betul.

“Adakah bermaksud rakyat di luar sana tidak faham atau kena beli semua. Ada orang kata tak berani nak buat keputusan kerana takut dengan Datuk Seri Najib. Saya fikir orang dulu takut zaman Dr Mahathir memerintah berbanding zaman Datuk Seri Najib,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama Biro Publisiti MCA yang diketuai YB Datuk Ho Kok Chong, di sini, hari ini.

Dr Mahathir, 90, bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, 54, dan bekas anggota UMNO Anina Saadudin, 41, memfailkan saman terhadap Najib berhubung dakwaan salah laku membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mereka memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Najib telah melakukan perbuatan salah laku dalam jawatan awam dengan menggunakan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri, pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO.

Mereka memohon perintah Mahkamah Tinggi supaya Najib yang dinamakan sebagai defendan tunggal, membayar ganti rugi teladan berjumlah RM2.6 bilion dan ganti rugi teruk berjumlah RM42 juta kepada Kerajaan.

Anuar seterusnya menegaskan cara serta tindakan tersebut adalah satu strategi lain dan beranggapan itu adalah hak Tun Dr Mahathir.

“Dalam negara kita yang mengamalkan demokrasi, sesiapa pun bebas pergi ke mahkamah dan kita anggap itu adalah hak beliau. Dan kita tengok siapa mereka dalam sejarah politik, latar belaklang mereka macam mana, karakter mereka bagaimana.
 
“Jika beliau fikir jalan mahkamah biarlah sebab negara kita ada undang-undang. Maknanya beliau mengakui dan gagal di medan politik kerana tidak mendapat sambutan dikalangan rakyat terbanyak dan ahli UMNO,“ katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment