KUALA LUMPUR : Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dinasihatkan
mengambil cuti sementara bagi memberi ruang kepada Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung isu
pembelian rumah banglonya.
Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kebiasaannya seseorang
yang dilemparkan dengan tuduhan seperti itu perlu mengambil cuti berehat
buat sementara waktu bagi melancarkan siasatan yang dilakukan oleh
pihak berkuasa.
"Biasanya kes seperti salah guna kuasa, rasuah, sepatutnya mereka (Lim
Guan Eng perlu) bercuti untuk beri laluan kepada pihak pemeriksa
memeriksa sebaik-baik apa yang telah berlaku," katanya kepada pemberita
di lobi Parlimen tadi.
Beliau mengulas mengenai desakan daripada pelbagai pihak yang mendesak
supaya Ketua Menteri Pulau Pinang itu bercuti sementara dan menyerahkan
segala tugasnya kepada timbalannya sehingga selesai penyiasatan.
"Maknanya dia bercutilah, cuti-cuti Malaysia," katanya sambil ketawa.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun turut mendesak Guan Eng memberi
kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan penyiasatan
ke atas skandal yang terpalit kepadanya sekarang.
"Sepatutnya dia (Ketua Menteri P.Pinang) perlu jawab segala tuduhan itu
dan penyiasatan. Saya tinggalkan kepada dia untuk membuat keputusan.
"Dia sepatutnya tahu apa yang dia perlu buat," katanya lagi.
Guan Eng sebelum ini dilaporkan membeli banglo di Jalan Pinhorn,
Georgetown dengan harga RM2.8 juta berbading harga pasaran bernilai
sekitar RM6 juta hingga RM6.5 juta.
Beliau kemudiannya menyifatkan pembelian itu atas dasar suka sama suka dan tiada unsur paksaan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment