KUALA LUMPUR : Dua anggota Parlimen DAP Lim Guan Eng (DAP-Bagan) dan Teo
Kok Seong (DAP-Rasah) diperintah keluar dewan pada persidangan Dewan
Rakyat malam ini kerana melanggar peraturan dewan.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ismail Mohamed Said
memerintahkan kedua-dua mereka keluar di bawah Peraturan Mesyuarat 44,
kerana Lim gagal mematuhi arahan Yang Dipertua yang berkali-kali
memintanya duduk, sementara Teo kerana membuat rakaman di dalam Dewan.
Kedua-dua mereka bagaimanapun boleh menyertai semula persidangan esok.
Terdahulu, persidangan Dewan Rakyat kecoh selama lebih satu jam apabila
perbalahan berlaku antara beberapa anggota yang sebahagian besarnya
terdiri daripada pembangkang berhubung perkataan 'bohong'.
Kekecohan itu berlaku ketika Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan
Kerajaan Tempatan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menggulung perbahasan
usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya.
Ketika Abdul Rahman memulakan penggulungan itu, Lim bangkit mengemukakan
peraturan mesyuarat untuk meminta Abdul Rahman menarik balik perkataan
tidak sesuai dalam Parlimen iaitu 'bohong' yang ditujukan kepadanya
sebelum ini.
Pada persidangan Dewan Rakyat 16 Mac lalu, Abdul Rahman dilaporkan
mendakwa Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berbohong mengenai isu
harga rumah mampu milik di Pulau Pinang.
Abdul Rahman berkata kerajaan Persekutuan tidak pernah menetapkan harga
rumah mampu milik sebanyak RM400,000 seunit seperti yang diuar-uarkan
Lim itu.
Lim membuat dakwaan itu menerusi satu video yang dimuatnaik di internet
beberapa hari sebelum itu yang menyiarkan beliau sebagai berkata,
kerajaan negeri Pulau Pinang menetapkan harga rumah mampu milik di
negeri itu mengikut arahan kerajaan Persekutuan.
Mengikut Peraturan-peraturan Berbahas 36(4) Peraturan-peraturan Majlis
Mesyuarat Dewan Rakyat, adalah menjadi kesalahan bagi Ahli-ahli Dewan
yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadap) atau membuat pernyataan
yang seksis.
Dalam penjelasan mengenai perkara itu, Abdul Rahman berkata perkataan
bohong yang ditujukan adalah kepada fakta yang dikemukakan Lim dan
bukannya kepada Lim.
Selepas mendengar penjelasan Abdul Rahman itu, Ismail kemudiannya
memutuskan bahawa perkataan 'bohong' itu tidak ditujukan kepada Lim
tetapi kepada kenyataan yang dikeluarkan berkaitan harga rumah mampu
milik.
Bagaimanapun, keputusan Ismail itu menyebabkan Lim tidak berpuas hati
dan menuntut Abdul Rahman menarik balik perkataan itu yang didakwa
ditujukan kepadanya.
Keadaan itu berlarutan selama lebih satu jam dengan penyertaan beberapa
lagi anggota Parlimen pembangkang yang mendesak Abdul Rahman menarik
balik perkataan itu, sehinggalah Lim dan Teo diperintahkan keluar dewan
dan sebahagian besar anggota Parlimen DAP turut bertindak keluar.
Ketika menyambung semula penggulungannya, Abdul Rahman berkata, tindakan
Lim itu sudah diduga dan mendakwa itu adalah strateginya untuk keluar
dari dewan.
"Sebab itu saya katakan tadi saya kata jangan, saya merayu kepada
speaker jangan keluarkan Bagan (Lim), kerana saya membuka ruang yang
cukup besar kepada beberapa isu yang cukup besar mengenai isu Taman
Manggis yang ingin saya bawa hari ini.
"Tetapi beliau menggunakan taktik lama untuk diarahkan keluar dewan,
kemudian di luar dewan membuat sidang media dan menangis meraih
simpati," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment