Sejak seminggu dua ini berkocak dalam PAS mengenai kewujudan parti baru
dari kumpulan yang kalah ketika Muktamar PAS ke 61 di kuala Selangor
awal jun lalu.
Parti yang dicadangkan kononnya akan menghimpunkan kumpulan pemimpin
progresif dalam PAS yang tersingkir dari pucuk kepimpinan utama parti.
Reaksi dari kenyataan demi kenyataan mewakili kumpulan yang kalah itu,
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Selasa memberi peringatan
tentang sejarah parti itu bahawa pemimpin tertinggi parti yang bersama
parti atau pertubuhan lain, akan "tenggelam".
Peringatan itu terkandung dalam surat terbukanya kepada anggota parti hari ini tanpa menamakan mana-mana pihak dalam PAS.
"Setiap ahli PAS mestilah bersama dengan jamaah yang ditubuhkan di atas
prinsip dan matlamat berakidah yang teguh bersama konsep pendekatannya,
dan wajib beristiqamah mengikut kenyataan nas serta sejarah.
"Sesiapa yang mengikuti perjalanan bersama atau membaca sejarah PAS,
akan menyaksikan gelombang dan liku perjuangan dan hilangnya pemimpin
paling tinggi, ahli biasa atau penyokong secara sendirian atau tenggelam
bersama parti dan pertubuhan yang dijadikan bahteranya.
"Adapun perkara yang akan datang berada dalam ilmu Allah dan kita
diwajibkan mengambil iktibar serta sentiasa berilmu, berdoa dan
bertawakkal kepada Allah," kata Hadi.
Berikut kami siarkan sepenuhnya kenyataan Hadi yang bertajuk surat terbuka pada ahli PAS: Dilema aqidah dan pendekatan
Menemui semua ahli PAS semoga berada dalam limpahan rahmat Allah SWT.
Setiap pengikut perjuangan Islam wajib menyedari dan faham, bahawa ada
dua aspek penting dalam perjalanan perjuangan Islam yang sangat
mencabar. Gagalnya kita memahaminya, boleh mneyebabkan ada kalangan yang
kecundang atau tercicir di tengah jalan dalam perjalanan perjuangan
ini, kerana tidak menghayatinya dengan betul. Kedua-dua aspek tersebut
mewajibkan hidayah, melalui ilmu, kebijaksanaan dan terpentingnya
memohon petunjuk Allah dengan khusyuk setiap rakaat salat dan bila-bila
masa sahaja.
Pertama: Aqidah perjuangan; dan kedua: pendekatan yang dilakukan,
beramal, dakwah dan melaksanakan Islam bagi membawa rahmatnya kepada
seluruh manusia.
Kedua-dua aspek ini dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. bersama para
sahabatnya R.A. yang setia bersamanya dengan petunjuk Allah daripada
al-Quran, dalam semua keadaan. Ianya ditunjukkan dalam Marhalah Makiyyah
dan Madaniyyah, iaitu di masa lemah dan kuat di masa belum wujudnya
negara dan setelah tegaknya negara.
Pertama
Beristiqamah bersama aqidah perjuangan Islam adalah sangat berbeza
dengan perjuangan yang hanya bergantung kepada ideologi ciptaan manusia.
Ianya menuntut kita tetap bersama Islam dengan keimanan kepada Allah
dengan segala nama dan sifatnya yang mulia. Islam adalah benar, rahmat
dan adil, dalam segala hukumnya yang wajib, sunat, makruh, haram dan
harus. Percaya kepada janji Allah daripada dunia sehingga akhirat, walau
pun perkaranya ghaib dan tidak dapat dicapai oleh akal dan panca
indera. Perkara aqidah adalah tetap dan tidak berubah dan tidak boleh
diubah; walau apapun dugaannya.
Kedua
Aspek ini menuntut kita beristiqamah melaksanakan pendekatan yang
dizinkan Allah, halal dan haramnya adalah dengan cara yang diizinkan
oleh Allah, berhubungan dengan bukan Islam dan musuh dengan cara yang
diizinkan Allah juga. Walaupun hukumnya dari segi aqidah tegas dan
tetap.
Sirah Nabawiyyah melaporkan pendekatan Rasulullah S.A.W. menerima
perlindungan keluarganya yang dipimpin oleh Abu Talib di atas semangat
kekeluargaan tanpa menerima Islamnya, menerima pembelaan salah seorang
pemimpin kaumnya Mut’im bin ‘Adi yang menentang kezaliman walaupun dia
bukan Islam, meminta khidmat petunjuk jalan berhijrah ke Madinah
daripada seorang bukan Islam bernama Abdullah bin ‘Uraiqit dengan
keimanan menegakkan negara di Madinah dan menjanjikan hadiah gelang emas
kerajaan Parsi kepada Suraqah bin Malik, musuh yang datang untuk
membunuhnya di tengah jalan.
Hakikatnya ialah, apabila Abu Talib dan lain-lain menawarkan keamanan
dengan meninggalkan aqidah, maka ianya ditolak dengan keras. Apabila
pemimpin Makkah menawarkan pertabalan menjadi raja yang berkuasa dan
tawaran harta kekayaan dengan syarat meninggalkan aqidah perjuangan maka
ditolak dan bersedia untuk mati kerana mempertahan aqidah dan
perjuangannya.
Sikap yang sama ditunjukkan oleh semua para sahabat R.A. ketika berada
di Makkah, sehingga bersama melakukan Hijrah yang menghasilkan kejayaan.
Maka bersabdalah Rasulullah S.A.W.
(Sesungguhnya semua amalan itu mestilah mengikut niatnya, dan setiap
orang akan menerima ganjaran dan akibat mengikut niat masing-masing.
Sesiapa yang melakukan hijrah kerana Allah dan Rasul, nescaya dia
mendapat fadilat hijrah kerana Allah dan Rasul. Sesiapa yang niat
hijrahnya kerana dunia, atau seperti kerana mengikut wanita yang hendak
dinikahinya maka terimalah dia mengikut naitnya itu).
Hadis ini adalah bersempena dengan peristiwa Hijrah dan menjadi dalil
kepada semua amalan seseorang. Hijrah adalah pendekatan, wujudnya aspek
'niat' adalah menunjukkan bahawa urusan hijrah ini mempunyai
'aqidahnya'. Allah melakukan penapisan dunia sebelum penapisan akhirat.
Apabila tegaknya negara di Madinah, Allah secara tegas menunjukkan jalan
istiqamah di antara aqidah dan pendekatan kepada Rasulullah S.A.W. dan
para sahabatnya, dalam keadaan yang lebih mencabar dalam masyarakat
majmuk berbagai agama, kaum dan sikap. Islam, bukan Islam dan munafik.
Allah berfirman:
Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan
orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu (dengan jalan
menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam) dan (ingatlah), Allah Maha
Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha pengampun, lagi Maha
Mengasihani. Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku
adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu)
dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya
Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah
hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang
memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung
halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu dan
(ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka
itulah orang-orang yang zalim.
Ayat-ayat al-Quran tersebut bermaksud bahawa Allah menunjukkan kepada
kita supaya berlaku baik kasih sayang terhadap seluruh manusia mengikut
sempadannya. Maka Rasulullah S.A.W, menjalinkan segala pendekatan
hubungan dengan kalangan bukan Islam, secara bertahaluf, berta’awun,
berdamai, memaaf kesalahan dan lain-lain.
Apabila berlakunya sikap bermusuh yang mahu merosakkan aqidah maka
dibatalkan segala bentuk hubungan walupun terhadap kaumnya di Makkah.
Menunjukkan banyaknya keterbukaan dalam perkara pendekatan dan sangat
tegas dalam perkara aqidah perjuangan.
Maka setiap ahli PAS mestilah bersama dengan jamaah yang ditubuhkan di
atas prinsip dan matlamat beraqidah yang teguh bersama konsep
pendekatannya, dan wajib beristiqamah mengikut kenyataan nas serta
sejarah.
Sesiapa yang mengikuti perjalanan bersama atau membaca sejarah PAS, akan
menyaksikan gelombang dan liku perjuangan dan hilangnya pemimpin paling
tinggi, ahli biasa atau penyokong secara sendirian atau tenggelam
bersama parti dan pertubuhan yang dijadikan bahteranya.
Adapun perkara yang akan datang berada dalam ilmu Allah dan kita
diwajibkan mengambil iktibar serta sentiasa berilmu, berdoa dan
bertawakal kepada Allah.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:
Post a Comment