23 Jun 2015, Petaling Jaya : Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan beliau
bertanggungjawab apabila terus kekal sebagai Perdana Menteri bagi
menyelesaikan masalah semasa di negara ini, kata Ahli Parlimen Pasir
Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Beliau berkata dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
bahawa Najib enggan berundur kerana takut adalah satu dakwaan yang tidak
betul.
"Beliau tidak takut. Beliau kekal kerana bersedia untuk berdepan masalah
dan mencari penyelesaian," kata Tajuddin, yang juga Timbalan Menteri
Pertanian dan Industri Asas Tani.
Tajuddin berkata Najib telah mengakui bahawa terdapat isu berkaitan 1MDB
serta pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
"Najib mahu kekal kerana ingin menyelesaikan masalah ini, beliau mahu
bertanggungjawab, hanya pemimpin tidak bertanggungjawab yang akan
berundur.
"Beliau telah mengumumkan bahawa beliau akan menangani semua masalah ini, jadi berikannya masa."
Dalam klip video yang diambil semasa mesyuarat tertutup dengan kumpulan
bukan kerajaan minggu lalu, Dr Mahathir mendakwa Najib enggan melepaskan
jawatan kerana takut dengan kemungkinan menghadapi tuduhan jenayah.
Mengenai dakwaan bekas Perdana Menteri sebelum ini bahawa badan-badan
penguatkuasa takut untuk menyiasat Najib, Tajuddin berkata ia 'tidak
masuk akal'.
"Pada masa ini tidak mudah untuk apa-apa kesalahan dapat disembunyikan."
Tajuddin berkata rakyat perlu sedar bahawa Malaysia berdepan lebih
banyak masalah sepanjang tempoh perkhidmatan Dr Mahathir sebagai Perdana
Menteri, termasuk kegawatan ekonomi pada 1980-an dan 1997 serta
kontroversi seperti Perwaja Steel dan rancangan pembinaan Menara
Berkembar.
"Dr Mahathir terus kekal dan menyelesaikan semua masalah satu demi satu
dan sebagai hasilnya, apa yang kita ada hari ini adalah legasi beliau.
"Berbanding dengan Dr Mahathir yang berkhidmat sebagai PM selama 22
tahun, Najib hanya memegang jawatannya selama enam tahun, jadi apa yang
anda jangkakan?" tanya beliau.
Mengenai laporan Wall Street Journal mendakwa bahawa wang 1MDB telah
digunakan untuk membiayai perbelanjaan Barisan Nasional pada pilihan
raya umum lepas, Tajuddin berkata ia tidak memberikan sebarang bukti
yang menunjukkan wang yang digunakan semasa pilihan raya datang dari
dana 1MDB.
"Adakah mereka juga hadir dalam pilihan raya umum dan adakah mereka mengira berapa banyak wang yang didakwa dibelanjakan?
"Ini tidak adil kerana ia adalah tuduhan liar," kata Tajuddin.
Beliau berkata BN tidak terdesak untuk mendapatkan bantuan 1MDB, dan
telah berjaya melalui 12 pilihan raya umum sebelum dana itu ditubuhkan.
Tajuddin berkata pihak yang difitnah oleh laporan itu boleh menyaman
penerbitan itu jika mereka mendapati dakwaan itu boleh memudaratkan.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO


No comments:
Post a Comment