Wednesday, June 24, 2015
Bahaya ni.....ESSCOM Berdepan Musuh Dalam Selimut
24 Jun 2015, Beluran : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom)
yang ditubuhkan berikutan pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, dua
tahun lepas kini berdepan 'musuh dalam selimut' dalam usaha
mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah, khususnya di Zon
Selamat Timur Sabah (Esszone).
Ketua Staf Siasatan Khas dan Teknikal Esscom, Senior Asisten Rosli Mohd
Isa berkata, bagi mengatasi ancaman itu, kerjasama dan sokongan semua
pihak, terutama komuniti pesisir pantai Esszone amat penting, sekali gus
memastikan kawasan itu sentiasa selamat, aman dan damai.
"Sebagai contoh kes penculikan di Restoran Ocean King di Sandakan
baru-baru ini...tidak mungkin penjenayah datang terus dari negara jiran,
tahu bila mahu masuk dan keluar dari perairan Sandakan dengan selamat
dan tahu sasaran mereka, termasuk individu yang bakal diculik.
"Penjenayah ini kelihatan serba mengetahui kerana ada orang dalam yang
memberi maklumat. Inilah cabaran kita...musuh dalam selimut. Tali barut
ini yang dipercayai pendatang tanpa izin (Pati) ada di mana-mana dalam
kalangan kita terutama di perairan Esszone," katanya ketika menyampaikan
ceramah keselamatan pada majlis berbuka puasa anjuran Esscom di Masjid
Nurhidayah Kampung Kolapis, dekat sini malam tadi.
Sehubungan itu, Rosli meminta komuniti Esszone supaya segera melaporkan
kehadiran Pati atau individu yang meragukan di kampung masing-masing
bagi membolehkan pihak keselamatan bertindak awal mengekang jenayah
rentas sempadan dengan lebih berkesan.
"Walaupun Esscom sudah berkali-kali merayu orang ramai, termasuk ketua
kampung dan pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung
supaya melaporkan kehadiran Pati di kawasan masing-masing, namun masih
ramai yang tidak berbuat demikian.
"Apabila pihak keselamatan melancarkan operasi memburu Pati, ramai yang
ditangkap tetapi tidak dilaporkan seperti yang diminta. Jadi, sempena
bulan puasa yang mulia ini, bantulah dan salurkan maklumat kepada
Esscom...mungkin ada di kalangan Pati ini menjadi tali barut penculik
dari negara jiran. Soal keselamatan tanggungjawab kita bersama,"
katanya.
Rosli berkata, Esscom yang mempunyai sekitar 150 staf komponen
keselamatan 'tidak boleh berdiri sendirian' tanpa sokongan dan kerjasama
orang ramai, khususnya penduduk tempatan di Esszone.
"Bayangkan sahaja, tanah kebun kita sendiri, misalnya, seluas 6 hektar
pun bukan senang dikawal apa lagi kawasan Esszone meliputi kawasan
sepanjang 1,733.7 kilometer dari Kudat hingga ke Tawau," katanya.
Beliau turut menyeru penduduk pesisir pantai, termasuk di daerah Beluran
supaya sentiasa berwaspada bagi menghadapi sebarang kemungkinan kerana
'kita tidak tahu bila penjenayah rentas sempadan ini bergerak melakukan
jenayah penculikan yang didalangi orang dalam'.
Dipetik daripada sumber : Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment