23 Jun 2015, Bangkok : Polis Thailand menahan seorang bekas
pegawai PetroSaudi International Ltd dan mendakwanya atas tuduhan cuba
memeras ugut syarikat berkenaan, lapor media Thailand.
Ketua Polis Thailand, Jeneral Somyot Pumpunmuang, berkata polis
Bahagian Pencegahan Jenayah menahan warga Switzerland, Xavier Andre
Justo, susulan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Selatan
Thailand.
Polis turut menggeledah kediamannya dan merampas sebuah komputer
serta beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam jenayah
itu.
Menurut polis, Justo adalah seorang eksekutif di PetroSaudi sebelum
melarikan diri ke Thailand. Syarikat antarabangsa berpangkalan di Arab
Saudi itu, terkenal di Malaysia berikutan kerjasama yang pernah dijalin
dengan syarikat dana pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad
(1MDB).
Dua tahun selepas dipecat daripada syarikat, Justo dikatakan cuba
memeras ugut PetroSaudi sehingga 2.5 juta Swiss Francs (RM10 juta). Dia
mengancam akan mendedahkan maklumat sulit perniagaan yang didakwa
dicurinya daripada syarikat itu jika permintaannya tidak dipenuhi.
Berikutan cubaan peras ugut itu, beberapa emel dan dokumen disiarkan
oleh Sarawak Report, sebuah blog bermotifkan politik, hingga mencetuskan
pelbagai tuduhan terhadap 1MDB. Difahamkan, sebahagian daripada emel
dan dokumen yang disiarkan dalam blog itu sudah ditokok-tambah, sekali
gus menimbulkan keraguan terhadap kesahihan tuduhan berkenaan.
Sementara itu, PetroSaudi dalam kenyataan yang dikeluarkan di Riyadh,
menyambut baik penahanan Justo dan akan memberi kerjasama penuh kepada
pihak berkuasa Thailand.
Selain itu, PetroSaudi mempertimbangkan tindakan undang-undang
sewajarnya. “Kami lega Justo akan berdepan tindakan mahkamah. Kami
menjadi mangsa jenayah dan lebih mendukacitakan, ia dipolitikkan di
Malaysia.
“Kami gembira kerana dapat memperbetulkan keadaan dan memohon maaf
kepada rakyat Malaysia atas segala kesulitan berikutan tindakan tidak
bertanggungjawab bekas kakitangan kami,” katanya.
Dipetik daripada sumber : Berita Harian
No comments:
Post a Comment