24 Jun 2015, Kuala Lumpur : 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) hari ini
menegaskan ia hanya membeli aset apabila ia yakin aset-aset itu
mempunyai nilai jangka panjang.
“Untuk mengatakan bahawa sebarang pembelian kami didorong oleh
pertimbangan politik adalah sama sekali tidak betul,” kata syarikat itu
yang merujuk kepada artikel Wall Street Journal baru-baru ini yang
menyatakan 1MDB terlebih bayar dalam pembelian aset tenaganya.
“Hakikatnya adalah dakwaan ini merupakan pengulangan tuduhan-tuduhan
lama yang dilemparkan pembangkang termasuk bekas Perdana Menteri, Tun
Dr. Mahathir Mohamad.
“Dakwaan-dakwaan ini tidak pernah dibuktikan dan tidak pernah
disokong oleh bukti, sama seperti Dr. Mahathir yang tidak pernah
mengeluarkan sebarang bukti bagi tuduhannya bahawa RM42 bilion hilang
daripada 1MDB, kerana realitinya ialah RM42 bilion ini merupakan hutang
yang disokong oleh aset bernilai RM51 bilion,” kata 1MDB dalam satu
kenyataan di sini, hari ini.
1MDB berkata, ia mengambil pandangan nilai jangka panjang apabila
melakukan urus niaga; bukan sahaja bagi syarikat itu tetapi juga bagi
negara, sebagai menepati pemilikan 100 peratusnya oleh kerajaan
Malaysia.
“Harga pembelian dibayar berdasarkan kepada pandangan jangka panjang
ini, serta nasihat yang diterima daripada penasihat penilaian bebas,
dan keadaan pasaran pada masa itu.
“Atas dasar ini, kami percaya nilai yang dibayar selepas pembelian
aset – yang mungkin melibatkan premium dalam keadaan tertentu, seperti
yang biasa apabila membeli perniagaan lain – adalah setara dengan aset
sedia ada dan aset berpotensi pada masa depan,” kata syarikat itu.
1MDB berkata, sejak membeli aset tenaga pertama pada 2012, ia telah
membangunkan pengeluar penjana bebas antarabangsa utama di Asia
Tenggara.
Portfolio itu ketika ini terdiri daripada 13 stesen jana kuasa di
lima negara, bersama-sama dengan hak untuk membina lagi loji berkuasa
gas dan solar.
Hari ini, Edra Energy merupakan pengeluar penjana bebas kedua
terbesar di Malaysia dan yang terbesar di Mesir dan Bangladesh, dengan
operasi tambahan di Pakistan dan Emiriyah Arab Bersatu.
Secara keseluruhannya, ia memiliki kapasiti dipasang kasar 6,619 MW
dengan kapasiti efektif kira-kira 5,594 MW, kata syarikat itu.
1MDB memacu inisiatif dorongan pasaran bagi membantu mengubah
Malaysia menjadi sebuah ekonomi yang berkembang maju – yang sangat
kompetitif, inklusif dan mapan.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
No comments:
Post a Comment