Wednesday, June 24, 2015

DAP Nak Tunjuk Kuasa... Tindakan Melulu Dan Tidak Bertanggungjawab

Lebih 50 ahli UMNO menyerahkan memorandum membantah tindakan memusnahkan lambang parti itu di Menara UMNO minggu lepas kepada wakil Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Setiausaha UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir menyerahkan memorandum berkenaan kepada ketua keselamatan, Mohd Feroze Mohd Noor yang mewakili Datuk Bandar Datuk Patahiyah Ismail selepas pengawal keselamatan bangunan kerajaan negeri itu yang mengunci pintu masuk atas sebab keselamatan.

Ruang legar Komtar dilihat dipenuhi oleh ahli UMNO yang tidak berpuas hati yang kemudiannya mengiringi Musa untuk menyerahkan memorandum berkenaan.

Namun tidak semua dibenarkan masuk oleh anggota keselamatan yang bertindak mengunci pintu atas sebab keselamatan.

Musa turut menjelaskan pemusnahan papan tanda berkenaan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.

Malah, beliau turut mempersoalkan hak ahli majlis untuk memberi arahan memusnahkan papan tanda berkenaan sedangkan ia di luar bidang kuasanya.

“Ini adalah salah satu cara untuk memberi tekanan kepada UMNO Pulau Pinang. MBPP telah bertindak melulu dan tidak bertanggungjawab.

“Tindakan ini tidak mengikut Seksyen 72 (6) Akta 133 yang menyatakan bahawa MBPP perlu memberi notis sekurang-kurangnya 30 hari kepada pemilik bangunan untuk membetulkan apa-apa ketidakpatuhan prosedur.

“Mereka tetap terus memusnahkan papan tanda itu selepas UMNO telah mengadakan rundingan dengan MBPP dan pihak ahli majlis meminta UMNO untuk failkan beberapa dokumen untuk permohonan permit bagi meletakkan papan tanda di situ,” katanya.

Menurutnya, pihaknya telah bersetuju untuk menghantar dokumen yang diperlukan untuk memohon permit.

“Kita setuju untuk hantar dokumen berkenaan pagi semalam, namun pada Jumaat lalu mereka datang dan merobohkan papan tanda berkenaan,” katanya kepada poemberita selepas menyerahkan memorandum.

Musa turut mendakwa kerajaan negeri Pulau Pinang hanya cuba untuk menunjukkan kuasa dengan bertindak sedemikian.

Protes berhubung penurunan papan tanda UMNO itu berakhir dengan dua bendera DAP dibakar di pintu masuk Komtar.

Beberapa lelaki dilihat sedang membakar dua bendera DAP selepas Musa beredar dari bangunan itu selepas menyerahkan memorandum berhubung protes terbabit. 

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment