Wednesday, June 24, 2015

Ini Pengakuan Ketua Perampas Kapal Orkim Harmony...



“Kami menunggu selama 14 hari di laut sebelum berjaya merampas kapal tangki MT Orkim Harmony,” akui Ruslan, 61, ketua kumpulan lanun kepada Kolonel Le Van Minh, Komander Pengawal Pantai Wilayah 4, yang berpangkalan di Kien Giang, Vietnam.

Ruslan yang berasal dari Anambas, Pulau Natuna, Indonesia mengaku mempunyai 13 anggota kumpulan yang bersedia untuk merampas kapal tangki berkenaan ketika berada di perairan Malaysia.

Menurutnya, lapan daripada mereka termasuk Ruslan menyerbu masuk ke kapal berkenaan dengan bersenjata parang dan pistol manakala selebihnya ditugaskan untuk mencari pembeli minyak petrol terbabit.

Memetik sumber VNExpress News sebagai berkata, sekumpulan 13 lanun itu membuat perancangan awal dengan mengekori kapal MT Orkim Harmony ketika berlayar dari Singapura ke Pelabuhan Tanjung Sedili, Johor menggunakan kapal tunda.

Katanya, sebaik waktu malam, beberapa individu mengejar MT Orkim Harmony menggunakan bot laju sebelum membantu Ruslan bersama tujuh lagi ahli kumpulan yang lain naik ke kapal tangki itu dengan membawa pistol dan parang.

Sebelum ini menurut laporan Dewan Perdagangan Antarabangsa (ICC), sekumpulan lelaki bersenjata menawan kapal tersebut di 14 kilometer barat daya Pulau Aur berhampiran Mersing pada Khamis.

"Mereka membawa bersama semua krew sebagai tebusan, mengubah perjalanan kapal dan memindahkan minyak dari kapal tersebut," menurut laporan itu.

Sebelum meninggalkan kapal tersebut, sekumpulan lanun itu mencuri barang yang terdapat di dalam kapal dan juga milik krew serta  merosakkan radio di kapal berkenaan.
Kapal tersebut kemudiannya berlayar ke pelabuhan yang selamat.

Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan rampasan kapal yang disahkan sebagai Orkim Victory.

Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) percaya kapal tangki MT Orkim Harmony dirompak oleh kumpulan lanun profesional yang pernah terlibat dalam beberapa siri rompakan kapal dagang.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, siasatan juga mendapati sebanyak 13 anggota kumpulan lanun terlibat dalam rompakan tersebut dengan lapan orang menaiki kapal, manakala lima lagi menaiki bot tunda yang digunakan untuk merapati kapal tersebut.

“Kumpulan tersebut amat profesional kerana mengetahui selok-belok mengenai operasi kapal termasuk menggunakan peralatan perhubungan yang canggih dan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

“Siasatan Maritim Malaysia ke atas anak kapal yang diselamatkan juga mendapati suspek yang dikenali sebagai ‘Ruslan’, yang dipercayai ketua kepada penjenayah itu sering membuat panggilan dan bercakap menggunakan bahasa Inggeris,” katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Menurut Ahmad Puzi, pihak berkuasa Indonesia juga telah memaklumkan kepada Maritim Malaysia bahawa mereka telah menjumpai bot tunda di Batam, Indonesia dua hari lalu yang dipercayai digunakan untuk merompak kapal MT Orkim Harmony.

“Kita juga mendapati kumpulan lanun itu telah mematikan Sistem Pengenalan Automatik (AIS) kapal, ini membuktikan mereka amat profesional dan mengetahui mengenai selok-belok kapal, namun mereka gagal memperdaya pesawat P-3C Orion milik Australia yang berjaya mengesan kapal berkenaan di Teluk Siam.

“Maritim Malaysia dengan kerjasama pihak berkuasa Vietnam juga telah berjaya mengenal pasti ketua kumpulan terbabit dan proses permohonan ekstradisi untuk membawa kesemua suspek yang ditahan ke negara ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mengulas mengenai penemuan wang jutaan ringgit semasa lapan lanun tersebut ditahan, Ahmad Puzi berkata, sememangnya ada penemuan wang namun jumlah sebenar belum diketahui.

Selain itu, katanya, proses permohonan ekstradisi dipercayai akan memakan masa dan tertakluk kepada kerjasama pihak berkuasa Vietnam, namun Maritim Malaysia percaya atas semangat ASEAN perkara tersebut dapat dipermudahkan.

Setelah dibawa ke Malaysia, kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan bersenjata dan jika sabit kesalahan pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Puzi memberitahu, bagi meningkatkan keselamatan, Maritim Malaysia akan meletakkan anggota-anggota penguatkuasaannya yang terdiri daripada Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (Star) secara rambang di atas kapal komersial yang dimiliki dan berdaftar di Malaysia.

“Kita juga akan memperluaskan penggunaan AIS kepada semua kapal, bot dan pesawat milik Maritim Malaysia supaya pengesanan aktiviti yang menyalahi undang-undang di laut oleh kapal yang melalui perairan negara dapat dibuat dengan cepat dan lebih berkesan.

“Dalam masa yang sama, Maritim Malaysia akan memperkemaskan operasi dengan meningkatkan kehadiran kapalnya di laut terutamanya di kawasan panas, langkah ini bersesuaian dengan persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang mana umum tahu musim perayaan banyak kes penyeludupan dan keluar masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) berlaku,” katanya. 

Dipetik daripada sumber : Netizens

No comments:

Post a Comment