Suatu ketika dulu, ketika mana Tun Dr Mahathir mentadbir negara sebagai
Perdana Menteri, adalah menjadi suatu yang sangat pelik sekiranya beliau
membenarkan imej negara atau UMNO dihentam di dalam negara ini.
Dan
ketika itu, sekiranya wujud mana-mana pihak yang memperlekeh dan
memburuk-burukkan nama negara dan kerajaan Malaysia di luar negara
termasuk media asing, maka teruklah mereka akan digam, dihentam dan
ditibai secukup-cukupnya.
Jika tidak dibelasah menteri-menteri
kabinet yang diarah, maka Tun M sendiri akan mengherdik media-media
asing tersebut sehingga ada wartawan luar negara yang terketar-ketar
memegang kertas soalan untuk diajukan pada beliau.
Pihak
berkenaan dikatakan sebagai musuh negara, pengkhianat, tiada sifat
patriotik, menjejaskan kestabilan ekonomi dan politik negara dan banyak
lagi kecaman-kecaman yang dilemparkan, bersesuaian dengan apa yang
ditohmah ketika itu.
Penulis yakin bahawa tindakan itu dilakukan
Tun M dan barisan kabinetnya kerana mereka berada di dalam kerajaan dan
sedar hakikat apa yang berlaku, serta tahu bahawa segala tohmahan yang
dilemparkan pihak tertentu itu adalah tidak tepat, palsu dan fitnah.
Jadi,
apabila Datuk Seri Najib Tun Razak memegang tampuk pentadbiran negara,
metodologi yang sama diguna pakai bagi menghadapi tohmahan tidak benar
dan tidak tepat yang dilontarkan pada pihak Kerajaan.
Adalah
menjadi satu tindakan normal bagi sesebuah kerajaan mahupun Perdana
Menteri untuk mempertahan maruah dan imej negara sekiranya diserang oleh
mana-mana pihak, bukan? Itulah yang sedang dilakukan Najib dan barisan
kabinetnya.
Malangnya, bila mereka menjawab tohmahan dan tuduhan
tidak tepat itu, mereka dikatakan cuba menyembunyikan sesuatu dan tidak
menjawab soalan. Malah pihak yang melakukan tohmahan itu tidak mahu
percaya pula bila fakta-fakta diberikan padanya.
Penulis agak
kesal sedikit ISA dimansuhkan kerana akta itulah yang digunakan Tun M
suatu ketika dulu terhadap pihak yang cuba mengganggu-gugat kestabilan
politik atau ekonomi negara.
Meskipun akta itu digunakan untuk
bidang keselamatan, mengganggu kestabilan politik dan ekonomi negara
turut dianggap mengganggu-gugat keselamatan negara, bukan? Jika tidak,
tidaklah ditangkap ramai pemimpin politik dalam "Ops Lalang" dulu,
bukan?
Penulis yakin, sekiranya Najib memiliki sifat seperti Tun M
dan ISA masih kekal, mungkin mantan Perdana Menteri itu akan menjadi
tahanan ISA tertua di negara ini, berusia hampir 90 tahun pun masih
ditahan, bukan? Nasiblah, siapa suruh gugat kestabilan politik negara,
bukan?
Baru-baru ini, mantan Perdana Menteri itu dilaporkan telah
menghantar surat kepada media antarabangsa dan surat itu dikatakan
mengandungi isi yang menghentam serta mencemar imej negara dengan
tuduhan-tuduhan tidak berasas yang hanya berdasarkan persepsi
semata-mata.
Bukan main lagi mantan Perdana Menteri kita, kan?
Dulu beliau kutuk habis-habisan media antarabangsa, tapi hanya kerana
permintaan peribadinya tidak dipenuhi kerajaan, tergamak pula dia
bersekongkol dengan "media yahudi" untuk mencemar imej negara.
Penulis
rasa, jika Tengku Razaliegh Hamzah yang menghantar surat pada New York
Times dan mencerca Tun M ketika beliau berjawatan Perdana Menteri dulu,
mungkin Ku Li sudah "ke dalam", senasib dengan pemimpin lain yang pernah
dihumban masuk menjadi tahanan ISA.
Untunglah Tun M kerana Najib
bukan sepertinya. Cuma apa yang Tun M perlu tahu, Najib bukan seperti
Pak Lah. Najib adalah "Team A" dan Pak Lah pula dari "Team B". Sudah
tentu Najib itu adalah anak didiknya dan jangan haraplah Najib akan
mengalah semudah Pak Lah.
Lagipun, Tun M perlu tahu bahawa Najib
itu sejak dari dulu terkenal dengan teliti dan sentiasa berhati-hati
dalam gerak geri politiknya. Najib tahu dirinya berada di pihak yang
benar dan tidak akan berundur dengan tuduhan berbentuk persepsi bodoh
alang kepalang.
Biarlah masa menentukan. Jika terbukti ada yang
tidak kena tentang 1MDB, Mohd Najib sendiri akan bertindak terhadap
mereka yang bersalah itu. Namun jika terbukti tiada sebarang
penyelewengan, jangan lupa minta maaf pada Najib sebelum terlambat...
Dipetik daripada sumber : Amir Hamzah/Utaranews.com

No comments:
Post a Comment