Ahmad Zahid berkata jawatan dalam parti tidak kekal dan hanya bersifat sementara, namun pemimpin yang dipilih seharusnya menggalas tanggungjawab serta kepercayaan yang diberikan untuk menyandang jawatan tertentu.
Wednesday, August 26, 2015
Cabaran Dalam UMNO Lumrah Parti Politik Yang Dinamik – Ahmad Zahid
PUTRAJAYA : Masalah yang dihadapi UMNO sama ada dalam
organisasi atau kepimpinan adalah lumrah bagi mana-mana parti politik
yang dinamik, tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO, bagaimanapun berkata cabaran
berkenaan mampu ditangani parti keramat orang Melayu itu jika ia
didasari dengan semangat ketaatan dan kesetiaan.
“Walaupun pemimpin datang dan pergi, ketaatan, kesetiaan sesiapa pun
yang memimpin UMNO tetap utuh sebagai parti orang Melayu,” katanya
ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Putrajaya di sini
malam ini.
Turut hadir Setiausaha Agung UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian
Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga anggota
Parlimen Putrajaya.
Menjelas lanjut, Ahmad Zahid berkata putaran hayat politik UMNO boleh
dilihat sejak 1988 apabila parti itu diharamkan sehingga lahir parti
Semangat 46 yang merupakan serpihan UMNO.
Parti PAS turut menghadapi masalah sama apabila ia kini berpecah
sehingga lahir satu parti baharu dikenali sebagai Gerakan Harapan Baru
(GHB), katanya.
Ahmad Zahid berkata adalah lumrah untuk seorang pemimpin diuji bagi
melihat sejauh mana tahap daya saing, daya tahan serta daya juang
mereka.
“Pemimpin diuji dan kini Presiden UMNO sedang diuji. Ujian pernah dilalui pemimpin lain dalam bentuk berbeza,” katanya.
Beliau berkata tidak salah untuk anggota UMNO mempunyai perbezaan
pendapat, namun ia perlu diraikan dengan penuh kebijaksanaan dan
ketertiban bukannya secara semborono.
Ahmad Zahid berkata jawatan dalam parti tidak kekal dan hanya bersifat sementara, namun pemimpin yang dipilih seharusnya menggalas tanggungjawab serta kepercayaan yang diberikan untuk menyandang jawatan tertentu.
“Saya yakin keberadaan dalam posisi sama ada cawangan atau bahagian,
negeri apatah lagi nasional adalah merupakan jawatan berbentuk
sementara.
“Kita semua ahli UMNO harus beristiqamah kepada suatu harakah atau
gerakan yang ia merupakan keseimbangan dalam perjuangan,” kata Ahmad
Zahid.
Naib Presiden UMNO itu berkata bahawa ‘kumpulan suara minoriti’ boleh
menguasai ‘majoriti senyap’ kerana mereka mempunyai sistem komunikasi
yang cukup sistematik sehingga pembohongan dianggap sebagai kebenaran.
“Kita sebagai pemimpin dan ahli UMNO tidak boleh lagi hidup dalam zon selesa sebaliknya harus keluar daripada zon itu.
“Situasi politik (sekarang) adalah berbeza dengan situasi satu dekad
atau 10 tahun yang lalu, mungkin berbeza dengan sewaktu UMNO diasaskan,”
katanya.
Ahmad Zahid turut mengingatkan kerusi Parlimen Putrajaya perlu
dipertahankan Barisan Nasional (BN) pada masa-masa akan datang kerana
kegagalan berbuat demikian merupakan manifestasi kepada tumbangnya UMNO
dan BN.
“Namun, keyakinan saya amat kental dengan gandingan kepimpinan Tengku Adnan”, katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment