Wednesday, August 26, 2015
Orang Ramai Disaran Tidak Sertai Perhimpunan Bersih 4.0 – Polis
KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan
orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan Bersih 4.0 kerana
perhimpunan itu menyalahi undang-undang.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata mana-mana
orang yang terlibat dalam perhimpunan yang melanggar Akta Perhimpunan
Aman 2012 (APA) boleh diambil tindakan serta-merta yang berkuat kuasa
mengikut keadaan.
“Ini kerana perhimpunan berkenaan tidak memenuhi syarat di bawah
Seksyen 11 APA (Akta 736) kerana tidak mendapat kebenaran daripada tuan
punya pemilik tempat.
“Berikutan itu, polis juga ingin mengingatkan ibu bapa atau penjaga
supaya tidak membawa kanak-kanak dalam perhimpunan itu kerana ia menjadi
kesalahan di bawah Seksyen 20 (1)(c) APA, Akta 736,” katanya dalam
sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini.
Selain itu, perjumpaan antara polis dan penganjur perhimpunan di IPD Dang Wangi hari ini, gagal mencapai kata sepakat.
Zainol berkata penganjur tetap berdegil dan mahu meneruskan perhimpunan itu.
“Polis telah menasihatkan penganjur Bersih 4.0 agar perhimpunan itu
tidak dibuat di Dataran Merdeka kerana sebelum ini penganjur majlis
sambutan Hari Kebangsaan 2015 telah memohon kebenaran terlebih dahulu
sebelum mereka.
“Menurut Sekyen 17(2)(a) APA, Akta 736 tidak boleh diadakan dua
perhimpunan di tempat sama, pada tarikh yang sama secara serentak,”
katanya.
Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai perhimpunan oleh Gabungan
NGO-NGO Malaysia yang bercadang melakukan perhimpunan Bersih 4 Keamanan
bagi menentang Bersih 4.0 pada Sabtu ini di Plaza Low Yat, Zainol
berkata pihaknya akan menyiasat perkembangan terbaru itu.
Sementara itu, penganjur Bersih 4.0, Maria Chin Abdullah berkata
perhimpunan Bersih 4.0 akan tetap berlangsung selama 34 jam dan memberi
jaminan akan bersurai sebelum malam ambang Merdeka pada Ahad ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment