Wednesday, August 26, 2015
NGO Pro BN Buat Laporan Polis Berhubung Risalah Gulingkan Kerajaan
KOTA KINABALU : Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Pakatan
NGO Pro BN, hari ini membuat laporan polis berhubung risalah yang
mengandungi seruan kepada orang ramai untuk menggulingkan kerajaan yang
memerintah sekarang.
Presiden pertubuhan itu, Zulkarnain Mahdar berkata kandungan risalah
mengenai himpunan Bersih 4.0 itu yang diterimanya di Kuala Lumpur itu
amat serius dan perlu disiasat kerana ia boleh mempengaruhi orang awam
seterusnya mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.
“Saya melihat perhimpunan Bersih ini bukan lagi satu perhimpunan yang
bersih sebaliknya satu agenda halus dan terancang untuk menggulingkan
kerajaan.
Jadi kita membuat laporan ini supaya polis mengambil tindakan. Harus
diingat, kita (penduduk Malaysia) lebih 20 juta (hampir 30 juta).
Sekiranya mereka datangpun (berhimpun anjuran Bersih 4.0) sehingga
100,000 orang, itu tidak mencerminkan aspirasi seluruh rakyat Malaysia,”
katanya.
Zulkarnain berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan
polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di sini hari ini.
Penganjuran Bersih 4.0 seolah-olah berniat jahat dan bertujuan untuk
melihat Malaysia kucar-kacir serta imejnya tercemar di mata dunia,
lebih-lebih lagi dengan kehadiran wakil-wakil media asing yang
sememangya cenderung melaporkan perkara negatif berkenaan Malaysia,
katanya.
Katanya perhimpunan berkenaan seakan ingin menggambarkan kepada
masyarakat dunia bahawa Malaysia tidak aman dan tidak demokratik
sehingga boleh menimbulkan keraguan dan kesangsian dalam kalangan
komuniti perdagangan antarabangsa untuk melabur di negara ini.
Zulkarnain juga menganggap cadangan penganjur Bersih 4.0 pada 29 Ogos
dan 30 Ogos di Dataran Merdeka itu sebagai satu provokasi kerana
penganjur sedia maklum bahawa Dataran Merdeka menjadi lokasi sambutan
Hari Kebangsaan saban tahun.
Katanya sekiranya panganjur berkenaan benar-benar ingin mengadakan
perhimpunan aman, mereka sepatutnya menerima tawaran pihak keselamatan
untuk mengadakan aktiviti mereka di lokasi-lokasi tertentu seperti
stadium dan bukannya di lokasi yang boleh mengganggu urusan harian orang
awam.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment