Thursday, September 03, 2015
Dr. Hatta : "Cukup Setakat Bagi 10 Orang Anak Yatim Makan" ... Janganlah Memandai-Mandai... Entahlah !!!
Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli
menyifatkan bai’ah cerai talak tiga yang pernah dilafazkan ketika
bersama Pas sebelum ini terbatal dengan sendirinya kerana telah membayar
kafarah iaitu memberi makan 10 orang anak yatim.
Justeru katanya, beliau akan meneruskan kehidupan seperti biasa
bersama isteri meskipun pelbagai pihak termasuk Ketua Hakim Syarie
Kelantan serta Menteri Besar mengesahkan perkahwinannya gugur talak tiga
kerana melanggar bai’ah tersebut.
Katanya, sebelum membuat keputusan keluar daripada Pas, beliau telah
merujuk mengenai soal bai’ah itu dengan beberapa ulama di dalam serta
luar negara selain mendapat pandangan daripada pelbagai pihak lain.
Pada masa sama, beliau berkata, sesetengah ulama berpendapat, dalam
Islam sebenarnya, tidak ada bai’ah sehingga menuntut bercerai talak
tiga.
“Perkara itu (bai’ah talak tiga) telah dirujuk dengan beberapa ulama
termasuk ulama Mesir, Sheikh Yusuf al-Qaradawi, Mufti Perlis, Dr. Mohd
Asri Zainul Abidin dan Penasihat Parti Pekerja Malaysia (Parti Pekerja),
Ahmad Awang.
“Saya dinasihatkan dan mendapat pandangan daripada Ahmad dan beberapa
lagi mengenainya, tidak menjadi masalah, cukup sekadar kita bayar
kafarah beri 10 orang (anak yatim) makan atau puasa tiga hari, itu
memang sudah tercatat, uztaz-ustaz, ulama-ulama tahu perkara ini.
“Saya mempunyai cukup alasan dan panduan untuk tidak mengambil
pandangan mengenai bai’ah jatuh cerai talak tiga walaupun datang
daripada seorang Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar ataupun Mufti
Kelantan sekalipun,” katanya kepada pemberita selepas ceramah Parti
Pekerja di Kampung Belimbing di sini malam tadi.
Semalam, Ketua Hakim Mahkamah Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad
mengesahkan perkahwinan Mohd. Hatta dengan isterinya bercerai talak tiga
kerana melanggar taklik yang pernah dilafazkan dalam bai’ah Pas negeri
itu.
Dalam bai’ah tersebut, setiap wakil rakyat Pas di negeri ini yang
mengambil keputusan keluar parti tanpa meletakkan jawatan, secara
automatik telah menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga.
Sementara itu menyentuh perkara sama ketika berucap sebelum itu, Mohd
Hatta berkata, isu bai’ah cerai talak tiga sengaja ditimbulkan Pas
negeri ini bagi menakut-nakutkan wakil rakyat parti itu supaya tidak
memilih wadah perjuangan lain.
Tetap jatuh talak tiga
Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad tetap berpendapat
Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli bercerai talak tiga
dengan isterinya berdasarkan lafaz taklik yang disebutnya dalam bai’ah
semasa menjadi calon Pas pada pilihan raya umum lalu.
Beliau berkata, lafaz taklik tersebut tidak boleh ditebus dengan
membayar kafarah seperti mana yang dipegang oleh bekas Pengarah Pilihan
Raya Pas Pusat tersebut.
“Ada dua perkara dalam isu ini, pertama bai’ah iaitu sumpah yang
boleh ditebus dengan kafarah, memberi makan kepada 10 orang fakir
miskin.
“Kedua ialah taklik, taklik tidak boleh ditebus dengan kafarah. Walau
bagaimanapun isteri atau bapa mentua Mohd. Hatta boleh mengesahkannya
di mahkamah.
“Sekiranya dia (Mohd. Hatta) masih berpegang dengan pendapatnya, itu
urusan dia dengan tuhan, kalau dia bertaklik dahulu dan tidak selesai
dengan cara taklik seolah-olah dia duduk (dengan isteri) luar nikah,”
katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai alasan Mohd.
Hatta bahawa perkahwinannya tidak terbubar dengan talak tiga kerana
bai’ah tersebut boleh ditebus dengan membayar kafarah iaitu memberi
makan kepada 10 orang fakir miskin.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment