Thursday, September 03, 2015

Dr. Hatta : "Cukup Setakat Bagi 10 Orang Anak Yatim Makan" ... Janganlah Memandai-Mandai... Entahlah !!!

Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli menyifatkan bai’ah cerai talak tiga yang pernah dilafazkan ketika bersama Pas sebelum ini terbatal dengan sendirinya kerana telah membayar kafarah iaitu memberi makan 10 orang anak yatim.
http://mk-cdn.mkini.net/720/17100c58c541cc0ade3f1002184b47bc.jpg
Justeru katanya, beliau akan meneruskan kehidupan seperti biasa bersama isteri meskipun pelbagai pihak termasuk Ketua Hakim Syarie Kelantan serta Menteri Besar mengesahkan perkahwinannya gugur talak tiga kerana melanggar bai’ah tersebut.

Katanya, sebelum membuat keputusan keluar daripada Pas, beliau telah merujuk mengenai soal bai’ah itu dengan beberapa ulama di dalam serta luar negara selain mendapat pandangan daripada pelbagai pihak lain.

Pada masa sama, beliau berkata, sesetengah ulama berpendapat, dalam Islam sebenarnya, tidak ada bai’ah sehingga menuntut bercerai talak tiga.

“Perkara itu (bai’ah talak tiga) telah dirujuk dengan beberapa ulama termasuk ulama Mesir, Sheikh Yusuf al-Qaradawi, Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Penasihat Parti Pekerja Malaysia (Parti Pekerja), Ahmad Awang.

“Saya dinasihatkan dan mendapat pandangan daripada Ahmad dan beberapa lagi mengenainya, tidak menjadi masalah, cukup sekadar kita bayar kafarah beri 10 orang (anak yatim) makan atau puasa tiga hari, itu memang sudah tercatat, uztaz-ustaz, ulama-ulama tahu perkara ini.

“Saya mempunyai cukup alasan dan panduan untuk tidak mengambil pandangan mengenai bai’ah jatuh cerai talak tiga walaupun datang daripada seorang Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar ataupun Mufti Kelantan sekalipun,” katanya kepada pemberita selepas ceramah Parti Pekerja di Kampung Belimbing di sini malam tadi.

Semalam, Ketua Hakim Mahkamah Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad mengesahkan perkahwinan Mohd. Hatta dengan isterinya bercerai talak tiga kerana melanggar taklik yang pernah dilafazkan dalam bai’ah Pas negeri itu.

Dalam bai’ah tersebut, setiap wakil rakyat Pas di ne­geri ini yang mengambil keputusan keluar parti tanpa meletakkan jawatan, secara automatik telah menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga.

Sementara itu menyentuh perkara sama ketika berucap sebelum itu, Mohd Hatta berkata, isu bai’ah cerai talak tiga sengaja ditimbulkan Pas negeri ini bagi menakut-nakutkan wakil rakyat parti itu supaya tidak memilih wadah perjuangan lain.

Tetap jatuh talak tiga

Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad tetap berpendapat Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli bercerai talak tiga dengan isterinya berdasarkan lafaz taklik yang disebutnya dalam bai’ah semasa menjadi calon Pas pada pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, lafaz taklik tersebut tidak boleh ditebus dengan membayar kafarah seperti mana yang dipegang oleh bekas Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat tersebut.

“Ada dua perkara dalam isu ini, pertama bai’ah iaitu sumpah yang boleh ditebus dengan kafarah, memberi makan kepada 10 orang fakir miskin.

“Kedua ialah taklik, taklik tidak boleh ditebus dengan kafarah. Walau bagaimanapun isteri atau bapa mentua Mohd. Hatta boleh mengesahkannya di mahkamah.

“Sekiranya dia (Mohd. Hatta) masih berpegang dengan pendapatnya, itu urusan dia dengan tuhan, kalau dia bertaklik dahulu dan tidak selesai dengan cara taklik seolah-olah dia duduk (dengan isteri) luar nikah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai alasan Mohd. Hatta bahawa perkahwinannya tidak terbubar dengan talak tiga kerana bai’ah tersebut boleh ditebus dengan membayar kafarah iaitu memberi makan kepada 10 orang fakir miskin.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment