Tuesday, November 03, 2015
Dapatkan Penjelasan Isu Kapal Perang ‘Ceroboh’
KUALA LUMPUR : Malaysia akan mendapatkan penjelasan dari China dan
Amerika Syarikat mengenai kehadiran kapal perang mereka di Kepulauan
Spratly semasa Pemukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean
(ADMM) dan ADMM-Campur ke-3, yang bermula di Subang esok.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata,
beliau percaya perkembangan terkini mengenai isu itu akan diberi
taklimat oleh rakan sejawatannya, Jeneral Chang Wanquan dari China dan
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Dr Ashton Carter, semasa
mesyuarat berkenaan.
“Saya percaya akan ada perbincangan dan rundingan antara China dan
Amerika Syarikat. Saya berharap diberi taklimat mengenai perkembangan
terkini jika ia benar-benar melibatkan pergerakan aset antara kedua-dua
pihak.
“Sukar bagi saya menyatakan sesuatu sekarang, saya tidak pasti
mengenai perkembangan terkini tentang isu tersebut,” katanya pada sidang
media selepas tinjauan akhir persiapan bagi Pemukiman ADMM dan
ADMM-Campur, dari 3 hingga 5 November, di Subang hari ini.
Kontroversi itu dilaporkan tertumpu kepada satu jalur wilayah di Laut
China Selatan yang mengandungi Kepulauan Spratly, dan pegawai China
mengutuk kehadiran kapal perang Amerika Syarikat yang belayar dekat
kepulauan itu, baru-baru ini.
Kepada satu soalan berkaitan cabaran Amerika Syarikat itu ke atas
China berhubung kepulauan yang dipertikaikan tersebut, Hishammuddin
berkata beliau hanya menyambut baik sebarang tindakan yang tidak
menjejaskan kestabilan rantau berkenaan.
China, Taiwan dan negara-negara Asean – Filipina, Malaysia, Vietnam
dan Brunei, terlibat dalam tuntutan bertindih mengenai pemilikan dan
penguasaan kepulauan itu di Laut China Selatan, yang kaya dengan sumber,
dalam konflik yang berlarutan selama beberapa dekad.
Hishammuddin berkata 10 negara anggota Asean harus bersatu sebagai satu blok.
“Ini sesuatu yang saya akan menjalankan tanggungjawab selagi saya
mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean,” katanya.
Hishammuddin berkata negara-negara Asean sedang memantau dengan
teliti pergolakan di dunia terutama di Syria, Ukraine, Iraq, Timur
Tengah dan lain-lain negara.
ADMM ialah mekanisme tertinggi perbincangan dan kerjasama pertahanan dalam Asean mengenai perkara-perkara berkaitan pertahanan.
Ia bertujuan memupuk kepercayaan bersama dan keyakinan melalui
peningkatan pemahaman mengenai cabaran pertahanan dan keselamatan serta
meningkatkan ketelusan dan keterbukaan.
Asean dianggotai 10 negara iaitu Malaysia, Brunei, Kemboja,
Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam
manakala lapan rakan dialog dalam Asean Campur ialah Australia, China,
India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.
Mesyuarat ADMM-Campur berkisar kepada ‘Asean – Mengekalkan Keselamatan dan Kestabilan Serantau untuk dan oleh Rakyat’.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, di luar sidang itu, Malaysia
akan mengadakan mesyuarat khas mengenai rondaan Selat Melaka dengan
Indonesia, Singapura, dan Thailand bagi membincangkan kebebasan
pelayaran di selat itu.
“Kita telahpun membuat pendirian tegas terhadap isu keganasan dan IS
(Negara Islam) pada mesyuarat terakhir ADMM di Langkawi dan kerana itu
kita sekarang melihat kepada isu membabitkan Selat Melaka,” kata
beliau.
Antara lain isu yang akan dibincangkan pada mesyuarat tiga hari itu
ialah bencana alam, bantuan kemanusiaan dan isu perkongsian risikan
dalam kalangan negara-negara anggota dan kestabilan di rantau ini, ujar
Hishammuddin.
Acara selama tiga hari itu merupakan yang terakhir dikelolakan oleh
Malaysia selaku negara pengerusi ADMM sebelum menyerahkan jawatan itu
kepada Laos.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment