Tuesday, November 03, 2015
Selagi Ikut Peraturan, Tiada Masalah Mahasiswa Berpolitik – Khairy
KUALA LUMPUR : Dewan Rakyat diberitahu hari ini, kerajaan tidak
mempunyai masalah bagi golongan mahasiswa untuk berpolitik selagi mereka
tidak melanggar undang-undang atau peraturan universiti masing-masing.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata keputusan kerajaan
untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) pada
2012 agar mahasiswa diberi lebih kebebasan untuk berpolitik sudah cukup
membuktikan keterbukaan kerajaan terhadap mereka.
“Seksyen 15 AUKU kini berbeza dengan seksyen lepas (sebelum pindaan),
dulu mahasiswa tidak dibenarkan langsung sertai parti politik atau
tunjukkan sokongan, tetapi kini sudah boleh.
“Sekiranya ada tindakan terhadap mahasiswa, ia sudah pasti sebab
mereka melanggar undang-undang lain, atau peraturan universiti lain, dan
tak ada kaitan dengan niat mereka untuk berpolitik,” katanya menjawab
soalan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) pada Persidangan Dewan
Rakyat di sini Selasa.
Takiyuddin ingin tahu mengapa beberapa tindakan diambil ke atas
segelintir mahasiswa yang berpolitik, sedangkan kerajaan, melalui
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengambil dasar untuk memberi
lebih peluang kepada golongan muda sebagai pelapis pemimpin masa
hadapan.
Menjawab soalan Takiyuddin sama ada KBS bercadang untuk mengehadkan
umur pemimpin di peringkat sayap pemuda parti politik iaitu tidak
melebihi 30 tahun, selari dengan Dasar Belia Belia Malaysia yang baharu,
Khairy berkata kementeriannya tidak mempunyai kuasa untuk berbuat
demikian.
Beliau berkata ini kerana semua pertubuhan politik terletak di bawah
Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan bukannya Pendaftar Pertubuhan Belia
(ROY).
Namun, katanya, terpulang kepada kepimpinan parti masing-masing untuk
berbuat demikian kerana prinsip asasnya ialah untuk melahirkan lebih
ramai pemimpin muda yang berkaliber di masa akan datang.
Terdahulu, menjawab soalan Anuar Abd Manap (BN-Sekijang), Khairy
berkata kementerian menetapkan sehingga 2018 sebelum akta berkaitan
takrifan baharu umur belia dilaksanakan bagi memastikan kesiapsiagaan
pertubuhan dan persatuan belia.
“Kita hanya akan bincang soal pindaan kepada akta berkaitan selepas
peralihan kepimpinan selesai, kalau pinda dulu kemudian nak cari
pemimpin muda, saya risau nanti pertubuhan ini akan alami masalah
besar,” katanya.
Anuar ingin tahu tahap persediaan serta langkah-langkah yang diambil
dalam proses perubahan takrifan umur belia yang akan dikurangkan kepada
30 tahun menjelang pelaksanaannya pada tahun 2018.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment