SHAH ALAM : Parti Amanah Negara (Amanah) perlu terima hakikat bahawa PAS tidak akan menjalinkan hubungan dengan parti serpihannya itu.
Penganalisis politik, Datuk Seri Azman Ujang berkata buat masa ini Amanah hanya boleh bermimpi untuk berkerjasama dengan PAS termasuk di Selangor.
PAS sebelum ini berkali-kali menegaskan enggan mempunyai apa-apa hubungan dengan Amanah, sebuah parti yang pada mereka adalah pengkhianat.
Terdahulu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad menyeru agar PAS Selangor dan Pakatan Harapan (PH) berganding bahu untuk mentadbir negeri itu.
"Setakat ini itu pendirian dia (PAS) walaubagaimanapun dalam politik tiada yang kekal (keputusan tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan), ia boleh berubah.
"Setakat hari ini memang keputusan PAS tidak bekerjasama, jadi Amanah harus faham, mesti ada logik dia PAS tidak mahu kerjasama", kata Azman ketika dihubungi Antarapos.
Khalid yang juga bekas pemimpin PAS berkata jika parti Islam itu keluar daripada kerajaan negeri Selangor, ia akan merugikan PH dan hanya menguntungkan Umno Barisan Nasional (BN).
Kenyataan Khalid itu disokong Azman yang juga bekas Ketua Pengarang Bernama.
"Semestinya (tindakan mengeluarkan PAS daripada kerajaan negeri Selangor) akan menguntungkan Umno-BN.
"PKR tidak akan setuju dan ini akan membawa kepada hilang majoriti pembangkang di Selangor kalau ada perpecahan. Pada saya mereka akan elak ini daripada berlaku", ujar Azman.
Dalam pada itu, Azman berkata PAS kini berpatah arang berkerat rotan enggan menghulurkan kerjasama dengan bekas rakan tahalufnya, DAP.
Memandangkan PH disertai DAP dan Amanah, ia menguatkan lagi alasan untuk PAS menjauhi pakatan pembangkang baru itu.
PAS dan DAP sebelum ini nekad memutuskan hubungan selepas bercanggah pendapat berhubung pelaksanaan hudud di Kelantan.
"Dia (PAS) punya masalah cuma dengan DAP, sebab DAP lantang mengkritik, jadi PAS rasa tidak selesa. Dalam keadaan sekarang, saya rasa PAS masih belum buat keputusan apa-apa untuk keluar daripada kerajaan negeri Selangor.
"PAS buat keputusan (untuk tidak sertai Pakatan Harapan), Parti Amanah Negara (Amanah) harus hormati, mereka (PAS) ada hujah-hujah sendiri yang tidak perlu Amanah buat kenyataan begitu sebab PAS memang tidak merestui penubuhan parti serpihan PAS", tambah Azman.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment