Adakah umat Melayu-Islam akan sekali lagi terjebak dalam politik “pecah-perintah” seperti yang pernah mereka alami di bawah pemerintahan British hampir satu kurun lalu?
Yang pastinya masalah perpecahan umat semakin menghiris perpaduan Melayu hingga mungkin menjadi entiti politik yang tiada daya saing mempertahankan hak, ruang politik dan budayanya kerana sudah diracik menjadi parti-parti kecil.
Mutakhir sekali PAS berpecah lagi. Serpihannya memilih nama Parti Amanah Negara (PAN). Meskipun PAS pernah mengalami perpecahan dan menyerpihkan Berjasa, Hamim dan sebagainya, ia tidak separah kelahiran PAN.
Perpaduan umat Islam sekaligus merekah. PAS yang selama ini dianggap satu-satunya suara politik umat Islam kini sudah ada saingan yang dipelopori sekumpulan bekas pemimpin PAS sendiri.
Namun belum reda perkembangan politik sensasi yang membelit PAS sebuah lagi parti yang dominan Islam-Melayu – PKR – tercabar dengan senario politik yang agak hampir sama yang dialami PAS.
Yang nyata ialah, pakar-pakar strategi DAP menghidu ada keretakan dalam pimpinan parti itu. Keadaan ini ‘salin tak tumpah” dengan keadaan PAS sejurus selepas Pilihanraya umum ke-13 lalu.
Dalam PAS, DAP mengesan ada sedikit pergeseran pandangan di antara kumpulan modernis dengan golongan mahu mengekalkan citra asli PAS atau mudah dipanggil ‘purists’.
Dengan tangkas, DAP menyambar peluang dengan menggalakkan kumpulan modernis ini untuk berhujah bahawasanya hanya reformasi pemikiran pimpinan PAS sahaja boleh mengukuhkan lagi perpaduan dalam Pakatan Rakyat.
Seraya itu, DAP menggambarkan betapa jika PAS berkongsi asas dan cara pemikiran strategik seperti DAP dan PKR, kemajuan dan pencapaian politik PAS serta Pakatan Rakyat akan lebih menyerlah lagi.
Kebetulan pula kumpulan modernis ini majoriti nya mendapat asuhan sistem pendidikan sekular yang menanamkan keyakinan bahawa dayausaha manusia sahaja yang boleh mengubah nasibnya. Ini memudahkan DAP masuk jarum.
Golongan ini diuja untuk meyakini bahawa strategi moden dan sesuai dengan zaman sahaja yang boleh menjamin cita-cita mereka untuk melumpuhkan penguasaan politik Umno-Barisan Nasional.
Maka ditayangkan gambaran betapa jika PAS mengubah pendekatan politiknya dan menambah-baik strategi pilihanrayanya, PAS akan jadi penyumbang utama kemenangan Pakatan Rakyat.
Ramai pemimpin modernis ini yang dibuai angan yang didendangkan oleh DAP. Justeru mereka menjadi semakin kritis terhadap dasar dan halatuju politik yang dipimpin oleh golongan ‘purists’ PAS itu.
Kemuncak serangan minda (al ghazwul fikri) ini mendorong beberapa pemimpin modernis PAS berasa terlampau yakin mampu mengubah PAS dari dalam dan menyusun semula komposisi kepimpinan PAS.
Maka merekapun membariskan calon-calon yang sesuai untuk menggerakkan reformasi dalam kepimpinan parti. Bagi memberi wibawa kepada gerakan itu, ulama yang sudah tidak aktif lagi dalam politik diheret terbabit reformasi itu.
Lantas, seperti lumrah pergolakan mana-mana idea politik, ia berkesudahan dengan perpecahan. Ada yang cuba menghalalkan proses itu dengan menganggapnya hijrah ke alam atau gelanggang perjuangan yang lebih cerah.
Yang pasti, retorik politik itu meletuskan perpecahan dalam PAS. Maka runtuhlah adab sopan politik Islam yang dianuti selama ini dan bermulalah kempen kritik, perli serta menyerang pihak ‘purists’.
Berdirinya PAN amat menggembirakan DAP. Ia juga menyenangkan hati pemimpin-pemimpin kanan PKR yang asyik dibuai lagu mahu menjadi sebahagian sejarah mengubah halatuju negara bersama DAP.
Bersandarkan asas pemikiran liberal dan peluang menjadi wira baru negara dan berkubang dalam kancah pertukaran pemikiran ala-cendekiawan, pemimpin-pemimpin PKR pun teruja menjadi pemikir liberal seperti pemimpin DAP.
Secara langsung ini menjarakkan hubungan modernis PKR dengan “purists” yang mahu melakukan reformasi dalam sistem pemerintahan negara melalui acuan yang digerakkan oleh Ketua Umum mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Memang benar Anwar juga mahu menegakkan keadilan dan kebenaran. Bagaimanapun jiwa perjuangan Anwar juga banyak disulami keperluan untuk menyusun keutamaan perjuangan atau maqasid syariah.
Ini berbeza dengan DAP yang mahu mencapai kemenangan terlebih dahulu dan kemudian baru cuba melatari kejayaan itu dengan asas dan prinsip yang belum pasti sedangkan Anwar percaya dan berpegang kepada prinsip keadilan Islam.
Bezanya pemimpin modernis PKR terkesima dengan paradigma bahawa demi kebaikan kepada rakyat, ia ‘perlu bersikap kejam untuk membawa kebaikan kepada mereka’ (you have to be cruel in order to be kind) seperti diamal DAP.
Dalam pada itu modernis PAS dan PKR ini diasyikkan dengan pendekatan Machiavelli DAP yang berpaksi fahaman “matlamat menghalalkan cara”dengan strategi mengasuh pemikiran rakyat dengan fitnah dan suntikan virus kebencian.
Sasaran kempen membenci ini bertujuan mewujudkan kerengsaan terhadap sistem pemerintahan dan pemimpin tertentu. Ini menghakis rasa hormat dan takzim dengan prinsip Rukunegara dan juga Perlembagaan.
Kempen meraikan modernis dalam PAS sudah berjaya. Dari batang tubuh PAS lahir PAN. Kini DAP beralih menggunakan strategi hampir sama terhadap PKR. Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali pula menjadi sasaran.
Kini Azmin diasak dari pelbagai penjuru supaya terus berselisih pandangan dan amalan dengan saf kepimpinan parti itu. Langkah pertama dan utama ialah kempen mendaulatkan Pakatan Harapan yang baru ditubuhkan.
Bagi mencapai hasrat itu, Azmin didesak supaya segera menjenamakan kerajaan negeri yang dipimpinnya sebagai kerajaan Pakatan Harapan dan bukan lagi Pakatan Rakyat. Ini membawa maksud, PAS bukan lagi rakan.
Sayugia dimaklumi bahawa dalam pakatan politik baru itu, PAS tiada tempat. Justeru perwakilan PAS dalam kerajaan Selangor pimpinan Azmin harus dinyahkan.
Azmin serba salah. “Jika diturut mati emak, diluah mata bapak”. Jika perwakilan PAS digugurkan, bererti Azmin dilihat sebagai politikus tidak berpendirian. Lebih tepat lagi tiada etika. Dalam sekelip mata PAS jadi musuh.
Pengalaman Azmin bersama PAS adalah perjalanan yang panjang. Sejak kehilangan bos utamanya. Anwar Ibrahim, Azmin tidak lekang dengan PAS. Dalam proses pembinaan PKR pun Azmin mendapat sokongan PAS hingga menjadi Menteri Besar.
Bagaimanapun malang bagi Azmin, jika beliau tidak menyisihkan PAS, kritikan dan cabaran daripada golongan modernis PKR yang lunak dengan DAP itu akan bertali arus.
PKR mungkin sebuah parti politik muda berbanding PAS dan DAP. Bagaimanapun ia seharusnya lebih peka dan bijak menguruskan tahaluf siyasi dengan DAP yang sebenarnya sudah terlalu biasa berkelana politik sendirian dan tidak perlukan kawan.
Apabila PAS membuka pintu, DAP segera cuba mencorakkan halatuju PAS. Mujur golongan ‘purists’ PAS tekal berpegang pada al Quran dan as-sunnah dan ini melindungi mereka daripada silap mata politik DAP.
PKR pun dipimpin oleh golongan yang mempunyai gagasan yang agak kukuh kerana turut bernaung di bawah prinsip politik Islam. Usahlah terkesima dengan retorik DAP yang telah mendorong modernis PAS mudah melupakan adab dan prinsip Islam.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment