Tuesday, November 03, 2015
PAS Tak Akan Tunduk Desakan Pemimpin DAP Selangor – Iskandar
Datuk Iskandar Abdul Samad
SHAH ALAM : PAS Selangor hari ini
menegaskan bahawa ia tidak akan tunduk kepada desakan seorang pemimpin
DAP Selangor yang mahukan wakil daripada parti itu dipecat daripada
pentadbiran negeri Selangor.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad semasa memberi
penegasan itu, berkata parti itu tetap akan kekal pada ‘status quo’
dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka juga meminta DAP
menghentikan ugutan politik terutama berkaitan PAS kerana ia hanya akan
menjadikan rakyat semakin jemu.
Katanya, kemenangan pakatan pembangkang di Selangor pada pilihan raya
umum lepas adalah atas dasar bersama ketiga-tiga parti DAP-PAS-PKR.
“PAS sekarang masih berada dalam kerajaan negeri dan tugas kami
adalah menjalankan tanggungjawab sebagai sebahagian daripada pentadbiran
yang sedang memberikan lebih fokus kepada bajet yang dibentangkan,”
katanya ketika ditemui di sini.
Beliau diminta mengulas satu laporan yang memetik Pengerusi DAP
Kajang Baru, Chiong Yoke Kong sebagai mencadangkan supaya kepimpinan
tertinggi DAP meminta Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali segera
memecat wakil PAS dalam pentadbiran negeri.
Chiong yang dilaporkan membuat kenyataan itu semasa Konvensyen
Tahunan DAP Selangor 2015 di Petaling Jaya semalam menganggap PAS
memungkiri janji dalam Pakatan Harapan, iaitu pakatan pembangkang yang
baharu.
Laporan itu memetik Chiong sebagai berkata bahawa jika Mohamed Azmin
masih gagal memecat wakil PAS dalam kerajaan pimpinannya, DAP dicadang
supaya keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
Mohamed Azmin sebelum ini dilaporkan berkata PKR memutuskan untuk
meneruskan kerjasama dengan semua parti pembangkang termasuk PAS di
Selangor dan tidak memerlukan pembentukan Pakatan Harapan di negeri itu
seperti yang dilaksanakan di Pulau Pinang kerana senario politik di
kedua-dua negeri itu berbeza.
Usaha mendapatkan komen Mohamed Azmin gagal. Naib Pengerusi DAP
Selangor, Datuk Teng Chang Khim turut bercanggah pendirian dengan Chiong
dan menganggap desakan supaya PAS keluar daripada pentadbiran kerajaan
negeri Selangor akan hanya merugikan DAP dan PAS.
“Tidak wajar DAP keluar dari kerajaan negeri kerana ia tidak akan
memanfaatkan DAP kerana kekosongan yang ditinggalkan oleh DAP akan diisi
oleh PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan PAS … begitu juga sekiranya PAS
keluar (dari kerajaan negeri) kekosongan akan diisi PKR dan DAP,”
katanya kepada pemberita di sini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment