Tuesday, November 03, 2015
1MDB: Tony Pua Tidak Jadi Debat, DAP Cari Pengganti Lain
KUALA LUMPUR : Pembangkang mungkin akan mencadangkan wakil lain
untuk menggantikan Tony Pua berdebat dengan Presiden dan Pengarah
Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy.
Ketua Whip DAP, Anthony Loke berkata, ia berikutan syarat ditetapkan
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang tidak membenarkan
Tony berdebat kerana kedudukannya sebagai ahli Jawatankuasa Kira-kira
Wang Negara (PAC).
“Kita akan bincang kalau ada wakil lain daripada DAP, PKR atau Amanah
untuk berdebat. Peraturan dewan tak benarkan Tony berdebat sebab beliau
ahli PAC.
“Tetapi kalau orang lain yang bukan ahli PAC, sepatutnya tiada
masalah. Misalnya Rafizi (Ramli), beliau bukan ahli PAC tetapi apa pun
kita akan bincang nanti,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen,
hari ini.
Menurut Anthony, beliau yakin debat itu akan diteruskan dan disiarkan
secara langsung seperti dijanjikan Menteri Komunikasi dan Multimedia,
Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
“Debat itu penting untuk jawab persoalan orang ramai mengenai 1MDB.
Prosiding PAC semuanya dijalankan secara tertutup termasuk untuk ahli
Parlimen.
“Jadi orang ramai tidak tahu apa terjadi dan siasatan PAC pula ambil masa berbulan-bulan,” katanya.
Mengulas mengenai syarat Pandikar agar Tony meletakkan jawatan
sebagai ahli PAC atau menarik diri daripada siasatan 1MDB, Anthony
berkata, beliau tidak akan membenarkann perkara itu berlaku.
“Saya sebagai Ketua Whip DAP tidak setuju Tony letak jawatan atau
tarik diri dari siasatan 1MDB. Sebab beliau memainkan peranan penting
dalam PAC.
“Kita tak benarkan mana-mana pihak berikan tekanan kepada Tony,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban mendakwa
kerajaan bersandiwara apabila sebelum ini bersetuju membenarkan debat
antara Tony dan Arul Kanda.
“Sejak beberapa hari lepas pemimpin BN sokong debat diadakan. Ini satu lagi strategi BN untuk jaga air muka mereka.
“Tetapi akhirnya mereka ada benteng iaitu Speaker tak akan benarkan
debat. Adakah ini sandiwara kerana mereka tahu Speaker akan buat
pendirian menafikan debat ini daripada berlangsung,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment