Tuesday, November 03, 2015

1MDB: Tony Pua Tidak Jadi Debat, DAP Cari Pengganti Lain

Tony Pua Arul Kanda
KUALA LUMPUR : Pembangkang mungkin akan mencadangkan wakil lain untuk menggantikan Tony Pua berdebat dengan Presiden dan Pengarah Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy.

Ketua Whip DAP, Anthony Loke berkata, ia berikutan syarat ditetapkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang tidak membenarkan Tony berdebat kerana kedudukannya sebagai ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“Kita akan bincang kalau ada wakil lain daripada DAP, PKR atau Amanah untuk berdebat. Peraturan dewan tak benarkan Tony berdebat sebab beliau ahli PAC.

“Tetapi kalau orang lain yang bukan ahli PAC, sepatutnya tiada masalah. Misalnya Rafizi (Ramli), beliau bukan ahli PAC tetapi apa pun kita akan bincang nanti,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Menurut Anthony, beliau yakin debat itu akan diteruskan dan disiarkan secara langsung seperti dijanjikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

“Debat itu penting untuk jawab persoalan orang ramai mengenai 1MDB. Prosiding PAC semuanya dijalankan secara tertutup termasuk untuk ahli Parlimen.

“Jadi orang ramai tidak tahu apa terjadi dan siasatan PAC pula ambil masa berbulan-bulan,” katanya.

Mengulas mengenai syarat Pandikar agar Tony meletakkan jawatan sebagai ahli PAC atau menarik diri daripada siasatan 1MDB, Anthony berkata, beliau tidak akan membenarkann perkara itu berlaku.

“Saya sebagai Ketua Whip DAP tidak setuju Tony letak jawatan atau tarik diri dari siasatan 1MDB. Sebab beliau memainkan peranan penting dalam PAC.

“Kita tak benarkan mana-mana pihak berikan tekanan kepada Tony,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban mendakwa kerajaan bersandiwara apabila sebelum ini bersetuju membenarkan debat antara Tony dan Arul Kanda.

“Sejak beberapa hari lepas pemimpin BN sokong debat diadakan. Ini satu lagi strategi BN untuk jaga air muka mereka.

“Tetapi akhirnya mereka ada benteng iaitu Speaker tak akan benarkan debat. Adakah ini sandiwara kerana mereka tahu Speaker akan buat pendirian menafikan debat ini daripada berlangsung,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment