KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara
Tony Pua perlu melepaskan jawatan beliau sebagai anggota Jawatankuasa
Kira-Kira Wang Negara (PAC) jika mahu berdebat dengan Presiden dan Ketua
Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda
Kandasamy.
Perkara tersebut diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar
Amin Mulia yang berpandangan bahawa penyiasatan PAC yang merupakan
jawatankuasa di bawah Parlimen mestilah telus.
Selain itu, Pandikar berkata Arul Kanda juga perlu dilucutkan sebagai
saksi dalam siasatan PAC jika ingin meneruskan debat tersebut.
Justeru katanya, jika debat itu diteruskan tanpa mematuhi syarat yang
dinyatakan beliau, maka beliau sedia meletakkan jawatan sebagai Speaker
Dewan Rakyat.
“Kenapa harus terburu-buru (hendak mengadakan debat)? Adakah perbahasan itu akan dapat keputusan tuntas?
“Tidak bukan. Jadi kenapa harus terburu-buru… tetapi kalau Kerajaan
mahu teruskan perdebatan, saya tidak mahu terlibat (dalam isu ini), saya
sedia mengundur diri,” katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Pandikar juga mengemukakan syarat kepada saksi
penyiasatan 1MDB, Arul Kanda bahawa beliau tidak lagi boleh terlibat
dalam mana-mana bahagian siasatan dan prosiding PAC bagi mengekalkan
ketelusan siasatan seleras dengan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
Jelas Pandikar, beliau hanya menjalankan tugas sebagai Speaker di
mana menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan setiap ahli Dewan Rakyat
mengikuti peraturan mesyuarat.
“Tanggungjawab Yang Berhormat adalah untuk debat isu yang penting,
(berkaitan) rakyat jika dibenarkan oleh peraturan mesyuarat.
Tanggungjawab badan eksekutif adalah mentadbir.
“Saya terpaksa menjalankan tugas sebagai speaker, saya tidak boleh
benarkan debat isu 1MDB antara Tony dan Arul kerana PAC sedang
menyiasat,” katanya.
Menurut Pandikar, debat antara Pua dan Arul itu bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 85 dan 23.
Peraturan Mesyuarat 85 memperuntukkan keterangan yang diambil
dihadapan sesebuah jawatankuasa pilihan dan apa-apa surat yang
dikeluarkan kepadanya tidak boleh disiarkan oleh siapa-siapa ahli
jawatankuasa itu atau oleh siapa-siapa jua sebelum jawatankuasa itu
membuat penyata itu kepada majlis.
Tambah Pandikar, apa-apa pendedahan, keterangan atau perkara yang
dikemukakan kepada jawatankuasa juga adalah tertakluk kepada syarat yang
diperuntukkan kepada Peraturan Mesyuarat 23 iaitu tiada ahli atau
pegawai majlis dan tiada juru tringkas yang digunakan khidmat untuk
mencatat minit keterangan dihadapan majlis atau mana-mana jawatankuasa
boleh memberi keterangan di tempat lain.
Debat atau bual bicara secara siaran langsung di televisyen di antara
Pua dan Arul Kanda juga dilihat mendapat ‘lampu hijau’ kerajaan apabila
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak
memaklumkan bahawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah pun menyatakan
kesediaan untuk menyiarkan debat itu secara langsung.
Terbaru, Salleh memberitahu bahawa RTM mencadangkan agar debat 1MDB
Arul-Tony Pua diadakan pada jam 9 hingga 10 malam Jumaat ini, iaiatu 6
Nov 2015 di Studio 1 tanpa penonton.
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
menyifatkan debat ini sebagaipeluang untuk menyerlahkan keberanian dan
kejantanan masing-masing bagi mencari kebenaran berhubung isu
menyelubungi syarikat pembangunan strategik itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment