SHAH ALAM : Pas tidak akan melayan sebarang desakan DAP yang
mahukan wakil parti itu dipecat dari pentadbiran kerajaan negeri atas
dakwaan memungkiri janji dalam pakatan pembangkang baharu.
Naib Presidennya, Datuk Iskandar Abdul Samad sebaliknya mahu DAP
menghentikan sebarang bentuk kenyataan atau tindakan politik yang boleh
menyebabkan rakyat merasa jemu.
“Kita kena fokus untuk selesaikan masalah rakyat, bukan terus bermain politik.
“Rakyat sudah jemu dengan politik, sebaliknya mereka memerlukan
pembelaan," katanya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Iskandar mengulas kenyataan Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong
yang dilaporkan mencadangkan kepemimpinan tertinggi parti memberi kata
dua kepada Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali supaya memecat wakil rakyat Pas dalam pentadbiran negeri.
Yoke Kong dikatakan membuat cadangan berkenaan semasa Konvensyen Tahunan
DAP Selangor di Petaling Jaya baru-baru ini atas alasan Pas memungkiri
janji dalam pakatan pembangkang baharu.
Malah, beliau seperti mengugut yang DAP tidak akan teragak-agak untuk
keluar dari kerajaan PKR Selangor sekiranya Mohamed Azmin gagal memecat
wakil Pas dalam pentadbiran.
Dalam pada itu, Iskandar yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor berkata,
pihaknya akan mengekalkan status quo dalam pentadbiran kerajaan negeri
bersama-sama PKR dan DAP, sama seperti pilihan raya umum lalu.
“Tiada sebab untuk kita (Pas) keluar dari kerajaan negeri. Kita menang
pilihan raya umum atas nama pakatan yang disertai tiga parti (Pas, PKR
dan DAP)," ujarnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment