GEORGETOWN : ADUN tunggal PAS di Pulau Pinang, Datuk Salleh Man
Mat Aji dinasihati tidak membelakangkan parti itu walaupun menyatakan
sokongannya terhadap Kerajaan Negeri pimpinan Lim Guan Eng.
Setiausaha Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim berkata, selepas dihubungi
pelbagai pihak termasuk ahli Pas, pihaknya mengambil keputusan berjumpa
dengan Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang
(MAINPP) itu bagi mendapatkan penjelasan.
Beliau berkata, dalam pertemuan itu, parti menerima pengakuan dan penjelasan yang dibuat Salleh Man berhubung kenyataannya itu.
Menurutnya, dalam perjumpaan itu, Salleh Man menjelaskan bahawa
kenyataan kelmarin adalah berdasarkan jawatannya sebagai YDP MAINPP
iaitu sebahagian dari Kerajaan Pulau Pinang dan Dia perlu berkhidmat
untuk rakyat.
“Sama juga seperti Pas, kita berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira kaum,
agama dan latar belakang politik. Dia masih ahli Pas dan akan terus
dengan Pas, tidak akan berbelah bagi.
"Dia juga menyatakan bahawa selagi memegang jawatan sebagai YDP MAINPP,
dia akan tetap bersama Kerajaan Pulau Pinang,” katanya memetik laporan
Sinar Harian hari ini.
Sehubungan itu, Iszuree menasihati supaya Salleh Man bersikap adil dengan parti Islam itu.
“Selagi dia dalam parti, kita akan terus bagi sokongan dan dorongan.
Namun, kita nasihatinya agar tidak buat keputusan yang membelakangkan
parti. Apa juga keputusan, perlu merujuk kepada parti terlebih dahulu.
“Kita juga ada menasihati dia supaya bersikap adil dengan parti. Jika
menghadiri program anjuran Kerajaan Pulau Pinang, dia juga perlu hadir
majlis anjuran parti. Jangan nampak ada pilih kasih. Dia juga tidak
dihalang untuk menjalankan tugasnya sebagai Adun,” katanya.
Iszuree turut meminta agar semua ahli Pas bertenang dan tidak membuat sebarang persepsi negatif yang boleh memburukkan keadaan.
“Saya minta semua ahli tidak melenting kerana setiap penjelasan perlu
diperolehi dari Pas negeri terlebih dahulu. Ini bagi mengelakkan
persepsi negatif selain memperolehi penjelasan yang sebenar.
“Pas negeri menerima semua penjelasan beliau dan saya akan bawa
(penjelasan) kepada mesyuarat Pas negeri seterusnya akan dipanjangkan
kepada Pas Pusat,” katanya.
Kelmarin, dalam satu sidang media bersama Ketua Menteri, Lim Guan Eng,
Salleh Man menyatakan akan terus menyokong Kerajaan Negeri Pakatan
Harapan.
Beliau juga menyokong dan akan terus membela Guan Eng atas semangat kerjasama dalam pakatan itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment